MANILA – Filipina hari ini menafikan laporan bahawa China telah mengambil alih kawalan terhadap sebuah terumbu yang dipertikaikan di Laut China Selatan.
Seorang pegawai keselamatan tertinggi negara itu berkata keadaan sebenar di lapangan bercanggah dengan dakwaan Beijing berhubung Sandy Cay.
“Fakta di lapangan menafikan kenyataan mereka,” kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara Filipina, Jonathan Malaya.
Penyiar rasmi China, CCTV, minggu lalu melaporkan bahawa pasukan pengawal pantai negara itu telah menjalankan operasi kawalan maritim di Sandy Cay, yang dirujuk China sebagai Terumbu Tiexian, dalam usaha melaksanakan kedaulatan.
Pada Ahad, Filipina melaksanakan operasi maritim di kawasan berkenaan dan mengesan ‘kehadiran haram’ kapal Pengawal Pantai China (CCG) serta kapal ‘militia maritim’ China.
Sebaliknya, CCG mendakwa ia sudah menangani satu ‘pertembungan’ membabitkan enam warga Filipina yang didakwa mendarat secara haram di Terumbu Tiexian.
Beijing menuntut kedaulatan ke atas hampir keseluruhan Laut China Selatan dan menolak tuntutan bertindih oleh negara-negara lain di rantau itu serta keputusan mahkamah antarabangsa menyatakan tuntutannya tiada asas undang-undang.
China dan Filipina berdepan ketegangan selama beberapa bulan di dan Manila kini sedang mengambil bahagian dalam latihan ketenteraan bersama Amerika Syarikat (AS).
Jurucakap pengawal pantai China, Liu Dejun, dalam satu kenyataan berkata, enam anggota dari Filipina mendarat secara haram di Terumbu Tiexian atau Sandy Cay, walaupun diberikan amaran dan usaha pencegahan dari pihak China.
Menurut Dejun, anggota pengawal pantai China kemudian naik ke terumbu itu dan menjalankan siasatan serta tindakan lanjut mengikut undang-undang.”
Kenyataan itu tidak memberikan butiran lanjut mengenai pertembungan berkenaan atau identiti enam individu dari Filipina.
Terumbu kecil itu adalah sebahagian daripada Kepulauan Spratly dan terletak berhampiran Pulau Thitu (juga dikenali sebagai Pagasa), yang menjadi tapak kemudahan ketenteraan Filipina.
Media kerajaan China melaporkan pada 26 April lalu, pengawal pantai negara itu ‘melaksanakan kawalan maritim’ ke atas Terumbu Tiexian pada pertengahan April.
Penyiar negara CCTV melaporkan, pengawal pantai mendarat di Sandy Cay untuk menguatkuasakan kedaulatan dan bidang kuasa mereka serta menjalankan pemeriksaan selain ‘mengumpul bukti video berkaitan aktiviti haram pihak Filipina.
CCTV turut menyiarkan gambar lima individu berpakaian serba hitam berdiri di atas terumbu tidak berpenghuni itu.
Satu lagi gambar menunjukkan empat pegawai pengawal pantai bergambar bersama bendera negara China di atas permukaan putih terumbu itu, dalam satu “ikrar kedaulatan,” menurut CCTV.
Kumpulan itu juga dilaporkan membersihkan botol plastik, kayu dan sampah lain yang ditinggalkan di terumbu berkenaan, menurut laporan itu.
Agensi berita rasmi China, Xinhua, pada 25 April lalu, memetik laporan dari Kementerian Sumber Asli yang dikatakan membongkar dakwaan Manila bahawa projek penambakan tanah China merosakkan alam sekitar tempatan.