KUALA LUMPUR,- Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA MALAYSIA), yang mewakili 540 agensi pelancongan berlesen di seluruh negara, hari ini memeterai perjanjian strategik dengan Maysan International Group, syarikat hospitaliti terkemuka berpangkalan di Arab Saudi yang mengendalikan lebih 4,000 bilik hotel di Makkah dan Madinah.
Langkah ini disifatkan sebagai titik tolak baharu dalam usaha memperkukuh mutu dan kebolehpercayaan perkhidmatan Umrah rakyat Malaysia, khususnya dari segi penginapan, sistem tempahan, sokongan logistik dan latihan profesional kepada pengendali pelancongan tempatan.
Presiden BUMITRA MALAYSIA, Dr Wan Muhamad Adam bin Wan Norudin berkata, kerjasama ini merupakan inisiatif strategik untuk memulihkan kepercayaan orang ramai terhadap industri Umrah tempatan yang berdepan pelbagai cabaran kebelakangan ini.
“Kerjasama ini membuka ruang kepada ahli BUMITRA untuk bergerak selari dengan piawaian antarabangsa bukan hanya dari segi akses kepada hotel, tetapi juga dalam aspek keselamatan, sistematik dan etika pengurusan jemaah,” ujarnya semasa sidang media selepas majlis menandatangani MoU tersebut.
Menurut beliau lagi, perjanjian ini bakal membolehkan semua ahli berdaftar BUMITRA mengakses sistem tempahan pintar Maysan, menyertai program latihan, serta menerima sokongan promosi dan operasi secara langsung daripada pejabat Maysan Malaysia yang berpangkalan di Kuala Lumpur.
“Kami mahu leraikan kebergantungan kepada susunan tidak sah dan berisiko. Ini masanya untuk kita bina semula landskap Umrah Malaysia yang lebih tersusun dan berdaya tahan,” tegasnya.
Maysan International Group mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam pengurusan hospitaliti ibadah. Antara hartanah utama milik mereka termasuk Maysan Al Maqam Hotel dan Grand Plaza Al Madina, yang terletak strategik berhampiran Masjidilharam dan Masjid Nabawi.
Melalui sistem digital milik mereka, agensi pelancongan boleh melakukan tempahan secara langsung, mengesan status pelanggan secara masa nyata, dan mendapatkan penyelesaian yang disesuaikan mengikut keperluan jemaah.
Kerjasama ini juga disokong oleh Maysan Malaysia, yang bertindak sebagai hab Asia Tenggara untuk menyelaras promosi, latihan dan sokongan agensi di Malaysia, Brunei dan Singapura. -SuaraTV
Profil ringkas Maysan Malaysia :
Sebagai pejabat serantau Maysan bagi Malaysia, Brunei dan Singapura, Maysan Malaysia bertanggungjawab menyelaras pelaksanaan kerjasama ini, termasuk sokongan kepada ejen pelancongan serta memperkukuh rangkaian strategik di Asia Tenggara.