KUALA LUMPUR – Anak kepada bekas Mursyidul Am Pas Nik Abduh Nik Abdul Aziz mempertahankan kenyataan Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyeru umat Islam supaya mengutamakan kemenangan dalam landskap politik negara, termasuk menangguhkan rancangan menunaikan ibadah haji ke Mekah.
Menurut Nik Abduh, Allahyarham bapanya iaitu Datuk Nik Aziz Nik Mat pernah mengemukakan saran sama iaitu menunda ibadah haji jika bertembung pilihan raya.
“Almarhum Ayahanda Tuan Guru adalah antara ulamak kita yang menyarankan ibadah haji dibawa ke depan jika bertembung dengan pilihan raya.
“Mengundi adalah kewajiban umat dalam menjaga agama dan negara.
“Sukalah musuh-musuh agama, tak kira kafir atau munafik, jika mengundi diletakkan dalam darjat kedua, apatah ketiga oleh umat Islam sendiri. Siapa pun yang ada ilmu agama tahu bahawa kewajiban menunaikan ibadah haji sama ada segera atau boleh ditangguhkan adalah perkara khilaf,” jelas Nik Abduh.
Justeru katanya, pandangan para ulamak untuk mendahulukan kewajiban mengundi dan ditangguhkan mengerjakan haji ke tahun-tahun berikutnya adalah ijtihad yang diterima.
“Kekalkan dalam benak fikir anda bahawa mengundi dalam pilihan raya adalah wajib. Ini saya tulis ringkas-ringkas,” catatnya di Facebook.
Terdahulu Presiden Pas sekali lagi menyeru umat Islam agar mengutamakan kemenangan dalam landskap politik negara, termasuk menangguhkan rancangan menunaikan ibadah haji ke Mekah.
Merujuk kepada pengajaran daripada kehidupan Nabi Muhammad SAW, Hadi menegaskan penguasaan politik umat Islam ke atas penganut agama lain merupakan ketentuan Allah SWT.
Namun, Hadi mengulangi rungutan sebelum ini bahawa umat Islam di negara ini lebih cenderung menunaikan ibadah haji berbanding berusaha untuk menguasai pentadbiran negara.
“Utamakan kemenangan politik. Nabi nak tunaikan haji pun…nabi mendahulukan kemenangan politik daripada tunaikan haji dan umrah.
“(Ia) boleh ditangguh, kemenangan politik tidak boleh ditangguh,” katanya ketika berceramah pada majlis kempen calon PN untuk PRK DUN Ayer Kuning di Tanjung Keramat, Perak malam tadi.
“Kuasa politik yang tinggi mesti orang Islam.
“Allah tak izin orang bukan Islam atasi orang Islam dalam pemerintahan negara,” katanya.
“Kita mesti faham, kemenangan politik kepada Islam sangat penting. Islam mesti berkuasa dan memerintah, memimpin,” tegas Presiden PAS itu.
Musim haji tahun ini dijangka bermula hujung bulan ini, dengan penerbangan pertama ke Tanah Suci dijadualkan pada 29 April — tiga hari selepas hari mengundi PRK Ayer Kuning.