PUTRAJAYA – Laluan kereta api dari Padang Besar ke Johor Bahru dan seterusnya ke Tumpat bakal dilengkapi dengan infrastruktur gentian optik baharu hasil pelantikan YTL Communications Sdn Bhd oleh Perbadanan Aset Keretapi (RAC) sebagai kontraktor pelaksana projek.
Ketua Pegawai Eksekutif RAC, Azhar Ahmad berkata projek sepanjang 1,600 kilometer itu dirangka untuk memperkukuh sambungan telekomunikasi di sepanjang jajaran rel, selain menyokong matlamat digitalisasi negara.
Menurut beliau, inisiatif ini juga selaras dengan agenda transformasi digital kerajaan dan memberi peluang kepada penyedia perkhidmatan telekomunikasi berlesen untuk menggunakan prasarana rel sebagai saluran rangkaian gentian optik.
“Langkah ini bertujuan membuka akses kepada pemain industri telekomunikasi berlesen melalui proses permintaan cadangan (RFP), sekali gus mengoptimumkan penggunaan aset rel negara untuk pembangunan rangkaian gentian optik berkelajuan tinggi,” katanya ketika berucap pada Hari Terbuka RAC.
Difahamkan, proses RFP bagi pelaksanaan projek ini telah dilaksanakan pada tahun 2023, dan surat penerimaan rasmi telah disampaikan oleh Azhar kepada Ketua Pegawai Eksekutif YTL Communications, Wing K Lee dalam satu majlis yang turut disaksikan Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook dan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Mengulas mengenai kerjasama ini, Pengarah Urusan YTL Communications, Yeoh Seok Hong menyatakan komitmen syarikat dalam menjadikan koridor rel sebagai pemacu utama keterangkuman digital negara.
“Inisiatif itu langkah penting untuk membuka lebih banyak akses kepada internet berkelajuan tinggi demi manfaat rakyat.
“Ia sekali gus merapatkan jurang digital dan memudahkan lebih ramai rakyat Malaysia untuk mengakses dunia digital yang berkembang pesat,” katanya.