Ayu & Emeer bangkitkan jiwa dengan Pop Balada moden

- Advertisement -

Gabungan Ayu Damit & Emeer Bakri Buka Lembaran Baru Muzik Tempatan

Dalam landskap muzik tempatan yang kini semakin dipenuhi dengan pengaruh lo-fi, indie dan pop urban, kehadiran lagu Cukup Kita nyanyian duet Ayu Damit dan Emeer Bakri seperti angin segar yang meniup nostalgia pop balada moden ke dalam jiwa pendengar Malaysia.

Lebih daripada sekadar runut bunyi untuk drama Calon Isteri Buat Suami yang kini bersiaran di slot Akasia TV3, Cukup Kita memberi isyarat bahawa genre pop balada moden masih punya tempat yang kuat – jika diberi sentuhan yang segar dan relevan.

Dicipta oleh Amsyar Sabri dan Emeer Bakri, lagu ini tidak sekadar bermain dengan emosi, tetapi juga memperlihatkan ketelitian dalam susunan muzik – dari elemen string sinematik yang megah, hingga bridge yang diselitkan elemen rock ringan sebagai “twist” berani dalam balada klasik.

Menurut Emeer, idea asal lagu ini tercetus ketika mereka menyedari betapa jarangnya genre seperti ini diketengahkan di pasaran muzik Malaysia. “Kita dah lama tak dengar lagu yang macam ni dimainkan secara arus perdana. Bila kami cuba, ternyata ia mendapat sambutan yang sangat positif,” jelasnya.

Kekuatan Cukup Kita juga terletak pada gandingan dua generasi penyanyi – Ayu Damit, yang dikenali dengan kekuatan vokal sejak kemenangan dalam One in a Million, dan Emeer Bakri, bintang baharu yang sedang meningkat naik dengan identiti kreatif tersendiri.

Ayu menyifatkan pengalaman ini sebagai salah satu kolaborasi paling serasi dalam kerjayanya. “Saya suka bila dapat bekerjasama dengan bakat baru yang berani mencuba. Lagu ini lain daripada yang biasa saya nyanyikan, tapi masih dekat di hati,” katanya.

Fenomena Cukup Kita membuktikan bahawa pop balada moden belum tenggelam, sebaliknya hanya menunggu masa untuk diangkat kembali dengan pendekatan yang lebih segar dan sinematik. Lagu ini bukan sahaja trending di platform digital, malah mendapat pujian kerana liriknya yang ‘relatable’ dan produksi yang matang.

Ia juga membuka peluang kepada lebih banyak penerbit dan label untuk meneroka semula genre ini dengan pendekatan yang sesuai dengan citarasa semasa.

Dengan drama Calon Isteri Buat Suami sebagai platform pelancar, Cukup Kita telah berjaya mencipta gelombang kecil yang semakin membesar. Bukan hanya lagu cinta biasa, tetapi simbol kepada kemunculan semula balada moden yang menggabungkan kekuatan vokal, emosi, dan aransemen muzik yang berkualiti.

Jika ini permulaannya, mungkin sudah tiba masanya pop balada moden diberi ruang kembali di radio, carta dan hati pendengar Malaysia.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat