KUALA LUMPUR – Tindakan Sin Chew Daily memaparkan Jalur Gemilang tidak cukup sifat pada muka depan akhbar berkenaan semalam dianggap mencalar kedaulatan negara, kata Ketua Pemuda Umno Datuk Akmal Saleh.
Justeru kata Akmal, tidak cukup dengan hanya permohonan maaf, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil didesak untuk mengambil tindakan terhadap akhbar berbahasa Cina berkenaan.
Menurut Akmal permohonan maaf tidak memadai kerana kesalahan Sin Chew itu ibarat satu penghinaan kepada bendera Malaysia.
“Gambar Bendera China dan Bendera Malaysia, tapi bendera Malaysia yang tak cukup sifatnya kerana tak ada lambang bulan sabit.
“Saya nak bagi tahu kepada Sin Chew Daily dan editornya, logo bulan sabit ini melambangkan agama Islam sebagai agama Persekutuan dan kuning itu di dalam bulan sabit itu melambangkan kedaulatan raja-raja dalam negara ini dan bagaimana kamu sebuah akhbar yang agak lama, dah cukup senior dah boleh melakukan kesilapan itu.
“…dan bagaimana kamu nak cetak? takkan tak ada editor yang semak? takkan tak tahu lagi bendera Malaysia ini mesti ada bulan dan ada bintangnya kenapa dihilangkan bulan sabitnya tu, bendera China betul pulak kamu print,” bidas Akmal.
Meskipun sudah meminta maaf, namun Akmal menegaskan kesalahan seumpama itu tidak wajar didiamkan.
“Semalam juga Sin Chew Daily dah keluarkan kenyataan maaf, saya nak bagitahu, dah buat lepas tu minta maaf, lepas tu biar je? Takkan didiamkan saja? Takkan begitu saja?
“Ini satu penghinaan sebab kamu akhbar yang senior mesti ada editor, sebelum nak keluar mesti check dulu takkan perkara ini pun kamu terlepas pandang? Sekadar minta maaf selepas itu selesai?
“Saya minta Menteri Komunikasi mesti wajib ambil tindakan kepada Sin Chew Daily ini, sebab kita tak boleh biarkan perkara ini akhirnya esok orang dah buat minta maaf, habis selesai begitu saja.
“Tidak boleh hanya dengan minta maaf dia mesti dikenakan tindakan yang berat supaya ia boleh memberi pengajaran kepada orang lain supaya lebih berhati-hati pada masa depan.
“Ini isu yang serius, isu yang melibatkan isu kedaulatan. Jadi saya mohon menteri komunikasi tolong ambil tindakan kepada Sin Chew Daily,” gesa Akmal.