KUALA LUMPUR – PKR Sabah menyambut baik kenyataan Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin yang memutuskan untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) Sabah bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17), semalam.
Ketua Penerangan PKR Sabah Razeef Rakimin berkata pihaknya menyifatkan pengumuman terbabit satu keputusan baik dari BN Sabah sebagai rakan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan.
Menurutnya, pihaknya sebelum ini sudah menyatakan pendirian dengan mengambil sikap terbuka menjalin kerjasama dengan rakan komponen dalam Kerajaan Perpaduan bagi menghadapi PRN17.
“Sebelum ini juga telah diadakan sekali pertemuan tidak rasmi antara PH Sabah dan BN Sabah. Namun biarlah kerjasama yang dibentuk ini tanpa ada perselisihan dengan parti yang lain dalam Kerajaan Perpaduan.
“Pada pandangan kami BN perlu menjernihkan hubungan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerana kita tidak mahu pertelingkahan dua pihak ini menyebabkan PH tersepit di tengah dan seterusnya menyukarkan gerak kerja dari segi jentera ketika pilihan raya berlangsung.
“BN boleh memainkan peranan penting dalam kerajaan Sabah dalam usaha kita membangunkan semula negeri ini. Dalam masa sama, ia tidak menghalang BN untuk menjadi semak dan imbang di dalam kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan, pada Isnin.
Semalam, Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin mengumumkan kerjasama dengan PH Sabah bagi menghadapi PRN17.
Bercakap kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya, beliau yang juga Ketua Umno Sabah berkata perkara itu dimuktamadkan pada pemukiman Umno Sabah akhir tahun lalu.
Razeef berkata, apa yang penting di sini adalah bagaimana BN dapat berperanan bersama PH dan GRS dalam kerajaan Sabah bersama-sama membangunkan negeri ini seperti apa yang dilakukan oleh Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan.
“Apa yang menjadi keutamaan adalah pembangunan ekonomi dan infrastruktur negeri serta kebajikan rakyat, ” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut berkata pihaknya juga akan mengadakan perbincangan bersama komponen PH untuk menentukan rakan kerjasama strategik.