MEDAN — Tourism Malaysia menganjurkan Misi Galakan Pelancongan ke empat bandar utama di Indonesia iaitu Medan, Yogyakarta, Jakarta, dan Surabaya bermula 11 hingga 18 April 2025.
Inisiatif strategik ini dilaksanakan seiring dengan pelancaran kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026) serta sokongan ke arah merealisasikan Tahun Melawat IMT-GT 2023- 2025 bagi mempromosikan wilayah serantau sebagai destinasi pelancongan tunggal.
Misi Galakan Pelancongan ini disertai oleh 36 pemain industri yang terdiri daripada syarikat pengendali pelancongan, pengusaha produk pelancongan, MM2H, syarikat penerbangan dan pengusaha hotel Malaysia yang dipertemukan dengan penggiat industri pelancongan Indonesia bagi memperkukuh kerjasama antara kedua-dua negara dalam industri ini.
Timbalan Pengerusi Tourism Malaysia Datuk Yeoh Soon Hin berkata pasaran Indonesia kekal sebagai salah satu negara di Asia Tenggara yang tersenarai dalam lima pasaran utama penyumbang tertinggi ketibaan pelawat ke Malaysia.
“Misi ini perlu dimanfaatkan sebaiknya bersempena kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia.
“Misi ini turut melibatkan penganjuran seminar dan sesi business-to-business (B2B) bersama persatuan pelancongan utama Indonesia seperti Asosiasi Travel Agen Indonesia (ASTINDO), Asosiasi Perusahaan Perjalanan Wisata Indonesia (ASITA), serta Asosiasi Pelaku Pariwisata Indonesia (ASPPI) dengan memperkenalkan kepelbagaian tawaran pelancongan ke Malaysia,” katanya.
Tambahnya selain menjadi pemangkin dalam menarik lebih ramai pelawat dari Indonesia ke Malaysia, program ini juga mengukuhkan manfaat ekonomi jangka panjang bagi sektor pelancongan kedua-dua negara.
“Selain itu, Tourism Malaysia juga akan mengadakan pertemuan dengan penggiat industri pelancongan utama Indonesia, termasuk syarikat penerbangan dan Online Travel Agencies (OTA) seperti Tiket.com dan Traveloka.
“Batik Air juga menawarkan diskaun khas kepada pelancong Indonesia yang datang ke ibu negara untuk tujuan perubatan. Dalam mempromosikan warisan budaya,” katanya.
Untuk rekod, jumlah ketibaan pelawat Indonesia ke Malaysia seramai pada tahun 2024 adalah 4,145,127 orang peningkatan sebanyak 19.1% berbanding tahun 2023 dan 6.8% berbanding 2019.
Sehingga Mac 2025, terdapat 580 penerbangan mingguan dari Indonesia ke Malaysia dengan 106,134 tempat duduk tersedia setiap minggu.