KOTA KINABALU – UMNO Sabah mengesahkan akan menjalin kerjasama rasmi dengan Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat.
Pengumuman itu dibuat oleh Ketua UMNO Sabah merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam satu sidang media bersempena majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya di ibu negeri.
“Kita sudah buat keputusan sewaktu ‘retreat’ yang diadakan sebelum ini. UMNO Sabah akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan bagi menghadapi PRN akan datang,” katanya.
Bagaimanapun pengumuman ini menimbulkan tanda tanya sama ada ia turut melibatkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Ini kerana PH dan GRS telah pun mengumumkan persetujuan bekerjasama dalam PRN akan datang.
Sementara itu, Bung mendakwa keputusan tersebut adalah hasil perbincangan yang panjang dan mengambil kira keperluan untuk membina kekuatan politik yang lebih mantap di Sabah.
Tambah Bung, perbincangan awal dengan PH telah berlangsung secara tidak rasmi melalui beberapa sesi pertemuan, namun rundingan rasmi akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.
“Kita sudah beberapa kali berbincang secara tidak langsung melalui sarapan, makan tengah hari, makan malam. Namun, pertemuan rasmi akan dilakukan tidak lama lagi. Ini langkah yang sudah dimuktamadkan oleh UMNO Sabah,” jelasnya.
Beliau juga memberi bayangan bahawa kerjasama dengan parti-parti lain masih terbuka, selagi mereka menunjukkan kesungguhan serta komitmen dalam membina landskap politik yang stabil.
“Pintu kita tidak ditutup. Mana-mana parti yang dilihat mempunyai semangat setiakawan dan kesetiaan, kita pertimbangkan,” ujarnya lagi.
Ketika ditanya mengenai kenyataan rasmi dari pihak PH, Bung menjelaskan bahawa beliau mengambil inisiatif membuat pengumuman ini lebih awal demi memastikan jentera parti dapat digerakkan segera.
“Pihak PH mungkin belum buat pengumuman, tetapi saya perlu nyatakan pendirian kita. UMNO Sabah tidak boleh terus menunggu. Lagi lama kita tunggu, lagi parah perpecahan,” katanya.
UMNO Sabah sebelum ini menjadi antara faktor penting dalam landskap politik negeri, dan pengumuman ini dijangka memberi kesan besar terhadap dinamika politik PRN akan datang.