CYBERJAYA – Polis akan memanggil Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui, bersama empat individu lain bagi membantu siasatan berhubung insiden didakwa menghalang penjawat awam ketika operasi penguatkuasaan di kebun durian Musang King di Raub, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd Shahril Abd Rahman, mengesahkan bahawa siasatan dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
“Setakat ini, tiga laporan polis telah diterima membabitkan operasi itu dan siasatan sedang dijalankan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Difahamkan, Chow Yu Hui juga merupakan Penasihat kepada Save Musang King Alliance (SAMKA) dan akan dipanggil dalam masa terdekat untuk dirakam keterangan.
Sebelum ini, polis menerima tiga laporan — masing-masing daripada Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), polis sendiri dan sebuah badan bukan kerajaan (NGO).
Dalam insiden yang berlaku, beberapa pekebun dikatakan membawa kain rentang sebagai tanda protes terhadap tindakan penguat kuasa yang menebang tanaman durian mereka. Namun, operasi berjalan tanpa sebarang kejadian tidak diingini.
Mohd Shahril turut memaklumkan bahawa operasi akan diteruskan seperti dijadualkan oleh pihak berkuasa.
Terdahulu, Kerajaan Negeri Pahang menegaskan tindakan menebang sekitar 200 pokok durian Musang King di kawasan Sungai Klau, Raub tidak melanggar sebarang perintah mahkamah, seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.