Oleh Zihan Zari
KUALA TERENGGANU – Pang Anak Nyukang menjadi anak Iban pertama dilantik sebagai Pengarah Perikanan Negeri Terengganu yang baharu, berkuat kuasa 8 April lalu bagi meningkatkan produktiviti sektor perikanan di negeri ini.
Pang yang berasal dari Pakan, Bahagian Sarikei, Sarawak berkelulusan dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pada 1999 dan memulakan kerjaya awal dengan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) pada 2000.
Beliau berpengalaman luas dan mempunyai kepakaran dalam pengurusan sumber perikanan pernah menjawat pelbagai jawatan penting di peringkat negeri dan jabatan.
Antaranya, di Jabatan Perikanan Laut Sarawak (JPLS) selama 15 tahun sebelum dipinjamkan sementara sebagai Kader ke Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Putrajaya pada 2015.
Selain itu, beliau pernah bertugas di Bahagian Biosekuriti Perikanan dan Bahagian Konservasi & Perlindungan Perikanan (BKOPP), Ibu Pejabat DOF Putrajaya pada 2018 hingga 2023.
Di atas prestasi cemerlang dalam tugasnya, beliau telah dilantik sebagai Pengarah Perikanan Negeri Kedah pada 2024.
“Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak pengurusan tertinggi DOF, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) kerana telah memberi peluang, ruang dan kepercayaan kepada saya untuk meneraju DOF Terengganu yang sebelum ini belum pernah disandang oleh kaum Iban,”katanya kepada Wartawan SUARA.TV
“Kesempatan yang diberikan dan segala pengalaman yang ada akan saya gembleng sepenuhnya untuk meneraju DOF Terengganu agar lebih berdaya saing, mampan, berintergriti, berwibawa dan terus relevan pada masa akan datang.
“Setiap cabaran terutamanya berkaitan dengan tugas di dalam organisasi akan berjaya di atasi atau diselaraskan tetapi memerlukan komitmen yang tinggi terutamaya dari semua pegawai dan kakitangan DOF Terengganu,” katanya lagi.
“Saya percaya dan yakin, kami akan dapat mencapai objektif, misi, dan visi serta petunjuk prestasi utama (KPI) sepertimana yang telah telah dirancang.
“Dengan pengalaman hampir 25 tahun, saya akan kekal komited melaksanakan dan memikul amanah serta tanggungjawab yang diberikan membantu memacu dan menerajui DOF Terengganu dengan lebih cemerlang, ”ujarnya. – SUARA.TV