KUALA LUMPUR– Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan bahawa seorang individu yang sebelum ini dilantik sebagai pemegang amanah aset parti masih enggan menandatangani dokumen pelepasan tanggungjawab, walaupun tiga pemegang amanah lain telah berbuat demikian.
Menurut beliau, individu tersebut tidak lagi menganggotai Umno dan juga bukan lagi sebahagian daripada kerajaan, justeru sepatutnya melepaskan peranan itu.
“Ada seorang individu tidak melepaskan tanggungjawab kepada parti yang tidak lagi dianggotainya.
“Tiga pemegang amanah lain telah tandatangan dokumen pelepasan, namun beliau masih enggan,” katanya lapor Sinar Harian di Kuantan pada Jumaat.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bagi menjawab soalan mengenai tindakan Umno memfailkan saman pemula bagi mendapatkan pengisytiharan supaya sebidang tanah di ibu kota berkeluasan 9,723 meter persegi yang dipindah milik kepada parti politik berkenaan.
Terdahulu, Zahid merasmikan majlis pelancaran Akademi Rel Pahang di Dewan Utama Yayasan Pahang di Tanjung Lumpur pada Jumaat. Majlis itu dihadiri, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan barisan Exco Kerajaan Pahang.
Dalam pada itu, Zahid turut memberi contoh, isu melibatkan Hotel Seri Pacific yang dimiliki oleh ULC (UMNO-linked company), di mana proses pelepasan sebagai pemegang amanah turut terhalang akibat tindakan individu tersebut.
Beliau menjelaskan bahawa firma guaman telah menghantar surat mendesak pelepasan tersebut, namun masih tiada maklum balas daripada pihak terlibat.