KUALA LUMPUR – Polis sedang menyiapkan siasatan berhubung kes buli melibatkan pelajar sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pulau Pinang seperti yang tular sejak Isnin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Deputi Superintenden Mohd Norazmi Abd Ghapar berkata, kesemua tujuh pelajar yang disyaki terbabit telah diambil keterangan untuk membantu siasatan.
Menurutnya, kertas siasatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dalam masa terdekat untuk tindakan selanjutnya.
“Kesemua tujuh pelajar Tingkatan 3 yang berusia 15 tahun telah diambil keterangan.
“Kita dalam proses menyiapkan siasatan dan kertas siasatan akan diserahkan kepada TPR dalam masa terdekat,”lapor Sinar Harian di Pulau Pinang pada Khamis.
Menjawab ketika ditanya sama ada polis juga merakam keterangan daripada pihak lain, Mohd Norazmi berkata, polis hanya memfokuskan kepada pelajar yang disyaki terbabit.
“Kita fokus kepada (keterangan) pelajar sahaja,” katanya lapor akhbar itu.
Sebelum ini, polis membuka satu kertas siasatan berhubung satu klip video memaparkan insiden buli di sebuah bilik dipercayai asrama yang tular di media sosial sejak pagi Isnin. Polis dalam kenyataannya berkata, siasatan akan dijalankan secara holistik dengan mengambil kira semua aspek.
Polis juga akan mengambil tindakan proaktif dengan mengesan lokasi institusi terlibat dan semua individu yang dilihat dalam video berkenaan untuk dirakam keterangan.
Sebelum itu, polis mengesan satu klip video berdurasi 1 minit 31 saat tular dan telah meraih lebih puluhan ribu tontonan, komen serta perkongsian sehingga Khamis.
Klip tersebut menunjukkan beberapa individu dipercayai pelajar, melakukan perbuatan seperti membuli ke atas seorang individu lain yang berada di atas katil.