Konsert “EH RAYA 2025” Meraikan hari Raya, Budaya dan Komuniti

- Advertisement -

Dalam semangat Aidilfitri yang penuh makna, penyanyi tersohor Noraniza Idris tampil dengan inisiatif unik menerusi Konsert Eh Raya 2025, sebuah acara percuma yang menggabungkan seni, budaya dan komuniti di Summit USJ, pada 26 April ini.

Bakal berlangsung dari jam 9 pagi hingga 9 malam, acara ini membawa konsep rumah terbuka yang bukan hanya mempamerkan persembahan muzik, tetapi turut menampilkan sketsa raya, tarian tradisional, bengkel seni budaya serta jamuan makanan warisan Bugis – menjadikannya antara acara Aidilfitri berskala besar yang penuh nilai budaya.

Noraniza, atau mesra dikenali sebagai Kak Ani, yang memegang watak “Che Ani” dalam konsert ini, bakal berganding dengan rakan-rakan artis seperti Azmir Arif, Helmi Gimmick dan Siti Sarah dalam persembahan dua jam yang menyentuh nostalgia serta menghiburkan.

“Konsert ini bukan sekadar hiburan, tapi ruang untuk kita raikan raya dengan gaya kita sendiri – penuh warisan dan mesra komuniti,” ujar Noraniza.

Sebanyak enam lagu raya termasuk “Rewang Raya” dan “Halal Bihalal” akan dipersembahkan, diselangi dengan segmen tarian oleh lebih 60 penari daripada Noraniza Idris Dance Academy (NIDA TARI) serta sketsa yang menyentuh momen-momen lebaran masyarakat Melayu.

Menariknya, acara ini juga menjadi medan pendidikan budaya melalui Bengkel Zapin dan Ronggeng Selangor, yang terbuka kepada semua lapisan umur – sebahagian daripada usaha mendekatkan generasi muda dengan seni tradisional. Terdapat juga pertandingan tarian kreatif serta aktiviti tradisi seperti Malam 7 Likur, Rewang Raya dan Pagi 1 Syawal.

“Kalau kita libatkan ramai artis, kos dan komitmen jadi tinggi. Jadi saya pilih untuk bekerjasama dengan mereka yang biasa dengan kita, yang faham objektif budaya dan CSR konsert ini,” jelas Noraniza merujuk kepada struktur persembahan yang lebih fokus dan padat.

Penganjur menjangkakan kehadiran lebih 5,000 pengunjung, dengan lebih 1,000 peserta telah mendaftar untuk bengkel kebudayaan setakat ini. Noraniza turut menyatakan bahawa penganjuran percuma ini banyak dipelajari dari pengalaman lalu, terutamanya dari segi pengurusan bajet dan kerjasama penaja.

“Kadang bila buat konsert tiket, kos permit, lesen dan lain-lain buat kita lebih terbeban. Tapi bila kita buat macam ni, lebih jelas hala tuju, lebih jujur, lebih mesra komuniti,” katanya lagi.

Selain pentas persembahan, acara ini turut membuka ruang kepada usahawan tempatan untuk mempromosi produk melalui pameran, demonstrasi dan jamuan gastronomi – sekali gus mengangkat nilai ekonomi dalam sambutan raya berteraskan budaya.

Acara ini juga menjadi sebahagian kempen Tahun Melawat Selangor 2025, dengan pratonton eksklusif tarian warisan Negeri Selangor yang dibangunkan oleh Noraniza sendiri melalui akademinya di Shah Alam.

Dengan sokongan Summit USJ, Tourism Selangor, Dewan Bahasa dan Pustaka, Persatuan Tatihseni Malaysia, CHE ANI PREMIUM, NAJAH dan NIDA, Konsert Eh Raya 2025 menjadi lambang kekuatan seni budaya apabila diberi platform yang tepat dan inklusif.

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat