KUALA LUMPUR- Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad berjaya dalam permohonannya, untuk menggantung prosiding pembelaan mereka terhadap tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta, di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu.
Hakim, Rosli Ahmad memutuskan demikian selepas peguam, M Athimulan yang mewakili Bung Moktar, 66 memberitahu, pihak pendakwaan tidak membantah permohonan berkenaan.
Menurutnya, penangguhan dibuat sehingga semakan terhadap perintah membela diri diputuskan Mahkamah Rayuan Putrajaya.
“Bagi makluman mahkamah, pendakwaan selaku responden dan kami selaku pemohon telah memasukkan hujahan bagi permohonan ini.
“Bagaimanapun, pagi ini dimaklumkan, responden tidak membantah permohonan penggantungan prosiding tersebut,” kata yang hadir bersama peguam Datuk Seri K Kumaraendran yang mewakili Zizie Izette, 47.
Mendengar perkara itu, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Law Chin How mengesahkan tidak membantah permohonan berkenaan selepas menerima arahan lanjut.
“Memandangkan perintah penggantungan telah diberikan, pihak kami mohon tarikh perbicaraan ditetapkan selepas pelupusan permohonan semakan itu.
“Timbalan pendaftar Mahkamah Rayuan telah menetapkan pengurusan kes bagi untuk menetapkan tarikh pendengaran semakan itu pada Jumaat,” lapor Sinar Harian pada Rabu.
Selepas mendengar perkara tersebut, Hakim, Rosli menetapkan tarikh baharu perbicaraan pada 18 hingga 20 Ogos, 2 hingga 4, 24 hingga 26 September depan.
Katanya, perbicaraan yang telah ditetapkan pada 9 hingga 11, 14 dan 15 April serta 5 dan 6 Mei depan dilapangkan.
Mahkamah Rayuan pada 18 November tahun lepas memerintahkan Bung Moktar dan isterinya Zizie Izette membela diri atas tiga kes rasuah berkenaan, selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap pembebasan pasangan itu yang diputuskan Mahkamah Tinggi di sini pada 7 September 2023.
Pada 2 September 2022, Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob memerintahkan Bung Moktar dan Zizie Izette membela diri atas tiga pertuduhan rasuah itu, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka di akhir kes pendakwaan.
Bung Moktar, 65, yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad didakwa pada 3 Mei 2019, dengan dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan Felcra melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Bung Moktar dituduh menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie Izette, 46, di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari hingga 5 petang 12 Jun 2015.
Bung Moktar juga dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Norhaili Ahmad Mokhtar melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan yang sama.