KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menggantung lesen Syarikat Umrah Hejira Travel and Tours Holding Sdn Bhd.
Ini susulan syarikat beerkenaan didapati melakukan pelanggaran terhadap Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482).
MOTAC memaklumkan dalam tempoh penggantungan lesen itu, syarikat tidak boleh membuat sebarang urus niaga baharu termasuk pengiklanan jualan pakej dan memulangkan semula bayaran serta apa-apa dokumen milik jemaah umrah yang memilih untuk membatalkan tempahan.
Bukan cuma itu, syarikat berkenaan dinasihatkan untuk menyelesaikan semua perjalanan yang telah ditempah atau dibayar.
“Setakat ini, MOTAC telah menerima lapan aduan dengan jumlah kerugian keseluruhan sebanyak RM180,116 terhadap syarikat pengendali umrah berkenaan.
“Siasatan lanjut masih diteruskan di bawah Akta 482 berhubung perubahan material dalam pakej umrah yang ditawarkan,” menurut kenyataan itu.
MOTAC turut mendapati rekod terdahulu telah menunjukkan syarikat berkenaan telah dikompaun sebanyak dua kali.
Sementara itu, MOTAC mengingatkan agensi pelancongan untuk menjalankan perniagaan dengan penuh tanggungjawab dan mematuhi semua peraturan ditetapkan untuk mengelakkan tindakan tegas dikenakan terhadap mereka yang melanggar peraturan dan menyebabkan kerugian kepada pelanggan.
Pada 14 Januari lalu, kecoh di media sosial apabila kira-kira 300 jemaah umrah terkandas apabila penerbangan mereka ke Tanah Suci ditunda syarikat pengendali umrah berkenaan.