Gotong-Royong dan Kebersamaan Warnai Majlis Berbuka Puasa di Sp Saujana Permai

- Advertisement -

Oleh : Azril Baharudin

SUNGAI PETANI – Surau Al Jannah, Taman SP Saujana Permai, Sungai Petani, Kedah telah menganjurkan sebuah majlis berbuka puasa yang bukan sahaja mengeratkan silaturahim dalam kalangan penduduk, tetapi turut menyantuni golongan asnaf menerusi sumbangan khas sempena Aidilfitri yang bakal tiba.

Majlis ini menyaksikan kerjasama erat penduduk taman yang bergotong-royong menyediakan juadah berbuka puasa, mencerminkan semangat kekeluargaan dan perpaduan yang masih utuh dalam komuniti setempat.

Menurut wakil penduduk, Iszaiezham Ismail, program berbuka puasa ini telah memasuki tahun kedua penganjurannya dan terus mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk.

“Ini tahun kedua program ini diadakan. Kami sangat berbesar hati melihat sokongan dan semangat kerjasama yang ditunjukkan oleh semua penduduk. Ini adalah satu program yang akan terus kami anjurkan setiap tahun, InsyaAllah,” katanya.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Selambau, YB Ustaz Azizan bin Hamzah, yang menyatakan rasa gembira melihat keharmonian dan semangat gotong-royong dalam kalangan masyarakat.

“Alhamdulillah, dengan adanya program-program seperti ini, diharapkan dapat memupuk semangat kerjasama, saling membantu, serta mengukuhkan hubungan silaturahim antara penduduk, terutama dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini. Ini merupakan tahun kedua. Bagi saya, ini adalah program yang sangat bermakna. Kita nampak keharmonian, kesefahaman, tolong-menolong dan bantu-membantu,” katanya.

Selain sesi berbuka puasa, majlis ini turut menyaksikan pengagihan sumbangan kepada golongan asnaf hasil daripada kutipan derma penduduk taman sendiri. Bantuan berupa barangan keperluan asas dan sedikit wang tunai diberikan bagi membantu meringankan beban mereka dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

Inisiatif ini diharapkan dapat membawa kegembiraan kepada mereka yang memerlukan, selain memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan penduduk. Program sebegini bukan sahaja mencerminkan keprihatinan masyarakat terhadap golongan kurang berkemampuan, malah menghidupkan nilai-nilai murni Islam dalam kehidupan bermasyarakat.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat