IPOH,- Polis telah menahan 13 warga Nepal yang bekerja di sebuah kilang di Changkat Jong, Teluk Intan, kerana disyaki cuba mencetuskan rusuhan pada malam semalam.
Menurut Ketua Polis Hilir Perak, Bakri Zainal Abidin, kejadian itu berpunca daripada kemalangan maut langgar lari yang melibatkan seorang pejalan kaki warga Nepal di Batu 8, Jalan Changkat Jong, sekitar jam 9.35 malam.“Siasatan mendapati kira-kira 1,000 pekerja kilang turun ke lokasi kejadian sehingga menghalang lalu lintas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pasukan dari IPD Teluk Intan segera dikerahkan bagi mengawal keadaan dan menenangkan situasi. Keadaan pulih sepenuhnya pada jam 2 pagi, selepas semua pekerja kembali ke asrama mereka.
Bakri memaklumkan bahawa 13 individu yang ditahan sedang disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan, berkaitan kesalahan merusuh.
Sementara itu, kes kemalangan langgar lari pula disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman berat terhadap pemandu yang menyebabkan kematian akibat kecuaian.
Beliau turut meminta orang awam yang mempunyai maklumat mengenai insiden ini untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inp Mohammad Syamil, di talian 011-10065817 bagi membantu siasatan.
Sebelum ini, video kejadian tular di Facebook, memaparkan sekumpulan warga asing merusuh di atas jalan raya sehingga mengganggu lalu lintas dan menyebabkan kenderaan tidak dapat melalui kawasan tersebut.
Pihak berkuasa menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih serta menyerahkan siasatan kepada polis bagi mengelakkan sebarang ketegangan lanjut.