KUALA LUMPUR — Kerajaan akan menaikkan kadar Pemberian Khas Sarawak dan Sabah sekali ganda lagi kepada RM600 juta ringgit melalui Belanjawan 2025.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata peruntukan pembangunan Sabah dan Sarawak terus diberi keutamaan dan adalah yang tertinggi antara negeri iaitu masing-masing RM6.7 bilion dan RM5.9 bilion ringgit.
“Pemberian Khas Sarawak ini juga tidak pernah dikaji sejak 1969.
“Di bawah MADANI, tahun ini kita telah menaikkan kadar kepada RM300 juta ketimbang RM16 juta (Sarawak) dan RM125.6 juta (Sabah).
“Peruntukan pembangunan Sabah dan Sarawak terus diberi keutamaan dan adalah yang tertinggi antara negeri iaitu masing-masing RM6.7 bilion dan RM5.9 bilion ringgit dalam Belanjawan 2025,” katanya selepas Pembentangan Belanjawan 2025 di Parlimen hari ini.
Beliau berkata belanjawan yang dibentangkan Perdana Menteri berpaksikan “Rakyat First’” sekaligus membuktikan kesungguhan kerajaan dalam menjamin kesejahteraan rakyat, mengangkat martabat rakyat dan menjunjung hak rakyat.
“Menerusi pengumuman Belanjawan 2025, fokus utama kerajaan adalah menjana perubahan menerusi tanggungjawab fiskal dan tadbir urus, membugar ekonomi dengan menaikkan siling menerusi peningkatan produktiviti dan pendapatan negara serta mensejahterakan rakyat menerusi meninggikan lantai taraf hidup dan memperkukuh keselamatan sosial.
Dalam pada itu beliau berkata sebanyak 17 pakej kerja Pan Borneo Sabah Fasa 1B telah dikeluarkan SST dengan nilai kontrak RM9.7 bilion.
“Ini meliputi jajaran Kota Belud ke Kudat; Tawau ke Kampung Lot M dan Telupid ke Ranau.
“Sementara, Pan Borneo Sarawak dijangka siap November 2024.
“Secara keseluruhan, Projek Pan Borneo Sarawak dan Sabah telah menelan belanja sebanyak RM25.1 bilion,” katanya.