KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tegas tidak akan bertoleransi dengan hak dan kedaulatan negara terutamanya membabitkan Laut China Selatan.
Justeru beliau mengumumkan dalam Belanjawan 2025 bahawa aset-aset perairan ditambah dan diselenggara bagi memperkasa kawalan sempadan negara.
“Acap kali ditegaskan, isu Laut China Selatan perlu diselesaikan di meja rundingan. Kita kekal dengan pendirian bahawa ini boleh ditangani secara aman, kendatipun tidak bermakna kita bertoleransi dengan hak dan kedaulatan negara.
“Aset-aset perairan akan ditambah dan diselenggara.
“Ini merangkumi perolehan baharu di bawah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia iaitu: 6 kapal di bawah Ship Life Extension Programme Fasa 2; Sebuah kapal Multi Purpose Mission Ship; dan 2 Kapal Ronda Generasi Baharu,” katanya di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Anwar malah mengumumkan RM560 juta disediakan untuk memperkasa sempadan negara.
“Antaranya untuk membina baharu dan menaik taraf ICQS di Rantau Panjang dan Bukit Berapit; membina dua pos sempadan baharu di Bantul dan Serudung, Sabah; serta membekalkan badan penguat kuasa dengan teknologi dron dan AI untuk meningkatkan capaian kawasan boleh diawasi.
“Selain itu, pembangunan pekan-pekan yang bersempadan dengan Kalimantan, Indonesia dan Selatan Thailand turut diberi keutamaan mencakup penyediaan prasarana asas serba lengkap dengan peruntukan hampir RM1 bilion. Ini termasuklah pembinaan jambatan Rantau Panjang ke Golok dan Pengkalan Kubor ke Tumpat dengan kos lebih RM50 juta,”ujarnya.
Susulan kekangan bekalan air di kawasan ESS Zone, Sabah, Anwar mengumukan RM5 juta disediakan bagi membekalkan air bersih secara hibrid menggunakan air hujan dan air bawah tanah.
“Terkait urusan keluar masuk sempadan negara maka Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia telah ditubuhkan bagi meningkatkan pengurusan keluar masuk sempadan.
“Sebanyak 63 negara telah menggunakan sistem pagar automatik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
“Kaedah kod QR telah digunakan bagi memeriksa penumpang bas dan pengguna motosikal di pintu masuk utama selatan tanah air, dan ini memendekkan masa pemeriksaan sehingga 40 peratus.
“RM20 juta disediakan untuk terus memperkasa kawalan pintu masuk negara,” katanya.