KUALA LUMPUR – Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin akui ‘bersyukur’ tidak menjadi ahli Parlimen kerana tidak perlu sibuk menjelaskan isu podcast (audio siar) kontroversi di mana beliau mendakwa diarah supaya tidak mencabar keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Bagan Datuk yang ketika itu menyaksikan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menang tipis.
Shamsul yang kini menjawat jawatan Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri berkata, kunjungan beliau semalam di Dewan Rakyat mendapat perhatian wakil-wakil rakyat dari blok kerajaan dan pembangkang terkait pendedahannya dalam audio siar berkenaan.
“Hadir ke Dewan Rakyat, Parlimen bagi mendengar sesi soal jawab Perdana Menteri.
“Bertegur sapa juga dengan rakan-rakan dari blok kerajaan dan pembangkang. Meriah hari ini (semalam) jumpa rakan-rakan di sini sebab saya punya podcast haritu.
“Nasib baik saya bukan ahli Parlimen, kalau tidak sampai petang tak selesai pembangkang minta saya bangun jawab bahas isu podcast,” seloroh beliau.
Sebelum itu, Shamsul Iskandar mendakwa diarah supaya tidak mencabar keputusan PRU15 di Parlimen Bagan Datuk yang ketika itu menyaksikan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menang tipis.
Menjelaskan perkara itu dalam satu siaran podcast, Shamsul Iskandar mendakwa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta beliau tidak memohon pengiraan semula dilakukan selepas dia kalah 348 undi kepada Timbalan Perdana Menteri.
Shamsul Iskandar mendakwa, Perdana Menteri mengarahkannya untuk tidak berbuat demikian supaya kerajaan dapat dibentuk melalui kerjasama dengan Umno.
“Saya ambil jalur rasmilah, rasminya SPR umum saya kalah 348 undi…secara jujur saya dapat panggilan daripada Datuk Seri Anwar dalam pukul 2.30 pagi.
“Itu yang menarik sebab Bagan Datuk 60,000 je pengundi tapi sampai pukul 2.30 pagi. Tempat lain dah umum dah, tapi di Bagan Datuk tak umum-umum lagi.
“Saya kata kat Kak Wan (Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) we want continue and fight.
“Tapi ye lah Perdana Menteri ketika itu telefon…tapi Sam (Shamsul) kita nak tubuh kerajaan, Datuk Seri Zahid telahpun keluar surat, tandangan untuk menubuhkan kerajaan ketika itu,” katanya dalam podcast itu.
Shamsul ditanya oleh moderator bahawa dia mungkin telah menang ketika itu di Bagan Datuk, namun memberi laluan kepada Ahmad Zahid.
Mengulas lanjut, Shamsul berkata dia mencabar keputusan itu untuk pengiraan semula kerana kekalahannya ketika itu hanya 348 undi dan undi rosak pula sekitar 800 undi.
Itu menyebabkan dia berusaha untuk membolehkan pengiraan semula undi dilakukan. Namun, Anwar mengarahkannya supaya tidak berbuat demikian.
Anwar memujuknya demi memastikan kerajaan dapat dibentuk.
“Ketika itu tambah kemenangan Datuk Seri Ahmad Zahid jadi 30 kerusi Parlimen, Pakatan Harapan (PH) ada 82, campur 30 just nice untuk tubuhkan kerajaan.
“Saya tanya, bos ini betul-betul berlaku ke?…saya tak mahu jadi macam dulu, tak nak kena game (lagi),” dakwanya.