Kalau takut diusik, jangan usik kami – Akma
KUALA LUMPUR – Penegasan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Akmal Saleh bahawa tidak akan membisu sekiranya diusik didakwa terkait teguran Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Meskipun tidak merujuk reaksi berkenaan bersandarkan teguran Presiden Umno yang sebelum itu berkata, enggan memanjangkan ketegangan antara pemimpin parti-parti kerajaan.
Susulan penegasan itu, Akmal berkata, “kalau takut kena usik,jangan sesekali usik kami dulu”.
“Jangan ingat kamu usik kami,kami diam membisu sahaja.
“Orang lain mungkin,tetapi bukan kami. Simple as that,” ujar Adun Merlimau itu.
Zahid sebelum itu menyifatkan desakan supaya PH meminta maaf kepada Umno atas serangan selama berdekad terhadap parti itu sebagai desakan peribadi oleh segelintir ahli Umno.
Sehubungan itu, beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, PH dan parti komponen lain dalam kerajaan perpaduan tidak perlu melayan desakan itu.
“Kenyataan Nur Jazlan (Datuk Nur Jazlan Mohamed) atau kenyataan Dr Akmal itu adalah kenyataan-kenyataan peribadi. Selagi Presiden parti tidak mengeluarkan sebarang kenyataan, kenyataan-kenyataan itu adalah berbentuk peribadi.
“(Jadi) tidak perlu minta maaf. Jangan usik rakan-rakan komponen di dalam parti kerajaan Perpaduan, kita harus menghormati di antara satu sama lain.
“Yang penting kita mesti mengekalkan keadaan dan situasi perpaduan kerajaan sekarang ini, jangan timbulkan sebarang masalah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Rakan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di Putrajaya, semalam.
Nur Jazlan adalah Ahli Majlis Tertinggi Umno manakala Dr Akmal adalah Ketua Pemuda Umno.
Terdahulu, Nur Jazlan meminta PH memohon maaf kepada UMNO atas serangan selama berdekad terhadap parti itu.
Menurutnya, Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang dimenangi Barisan Nasional (BN) baru-baru ini menunjukkan, tiada satu pun parti tunggal dalam gabungan kerajaan Perpaduan boleh mendakwa tunjang utama dalam pakatan berkenaan.
Zahid memberi peringatan kepada seluruh pimpinan dan ahli Umno agar tidak mengusik rakan-rakan dalam komponen parti kerajaan Perpaduan dan mengekalkan perpaduan dalam kerajaan ketika ini.
Beliau yang juga Pengerusi BN meminta semua supaya mengetepikan perbezaan pandangan dan terus menjalin kerjasama yang baik.
“Kita ketepikanlah perbezaan pandangan ini dan kita mesti berjalan ke hadapan untuk menjalin kerjasama yang baik bagi menghadapi apa sahaja kemungkinan termasuk pilihan raya kecil (PRK) atau pilihan raya umum (PRU),” ujarnya.