Oleh: Zihan Zari
SUNGAI UDANG – Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) antara pasukan pertahanan yang berperanan penting dalam menjayakan konsep Malaysia Madani khususnya dalam aspek kesejahteraan dan ihsan.
Ahli RELA diseru terus bersemangat dan sentiasa membuat perubahan ke arah yang lebih baik dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat, selaras dengan slogannya, ‘Setia Berbakti’
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata demikian sempena sambutan Hari Ulang Tahun ke-52 RELA di Akademi Latihan RELA (ALARM) pada Rabu lalu.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Hj. Ruji Ubi dan Ketua Pengarah RELA, Datuk Yahya Sulaiman.
Dr. Shamsul Anuar berkata, dengan kekuatan anggota RELA hampir 150,000 orang, berperanan penting membantu agensi sahabat KDN memelihara keselamatan setempat dan kedaulatan negara.
Beliau berharap anggota RELA dapat memberikan khidmat bakti dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat setempat sentiasa merasa aman dengan perkhidmatan yang diberikan.
Menurutnya, RELA telah memberikan fokus kepada pelbagai penugasan seperti kawalan sempadan, rondaan komuniti, kawalan perimeter dan penugasan runcit (one-off).
Selain latihan-latihan yang dilaksanakan kepada pegawai dan anggota RELA adalah selari dengan keperluan penugasan masa kini.
Menurutnya lagi, RELA telah berjaya melahirkan pegawai dan anggotanya berkepakaran (Subject Matter Expert) bagi meningkatkan kebolehan di dalam pelbagai bidang, antaranya , Armament Mechanic (ARMECH), Marksman Team (RMT), Perimeter Control (RPC) dan Traffic Trainer (RTT).
Keprihatinan RELA melalui program Khidmat Bakti RELA (KBR) telah dapat memanfaatkan serta meringankan beban anggota yang kurang berkemampuan.
Katanya, sehingga Jun 2024, sebanyak 203 buah rumah telah berjaya dibaik pulih melalui program KBR yang mensasarkan sekurang-kurangnya 314 buah rumah anggota RELA di seluruh negara pada tahun ini.
Selain daripada itu, sehingga Jun 2024 sebanyak 593 lawatan kebajikan telah diadakan terhadap anggota RELA seluruh Malaysia.
Tambahnya, RELA telah berjaya melaksanakan pemberian insurans berkelompok yang akan dimanfaatkan oleh 80,000 anggotanya aktif dan telah diprofilkan seluruh Malaysia.
“RELA telah melaksanakan 751 aktiviti gotong-royong seluruh Malaysia merangkumi pelbagai lokasi seperti di tempat-tempat ibadat, kawasan perkuburan, tempat-tempat awam serta komuniti dan pelbagai jenis gotong-royong lain.
“Selain itu, RELA terus memperkasakan Skuad Muda RELA (SMR) melalui pelaksanaan 42 program seluruh negara,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Yahya dalam ucapannya menyatakan aspirasinya untuk meremajakan dan memperkasakan RELA supaya imej RELA sentiasa dipandang tinggi dan kekal relevan di masa hadapan.
Katanya, RELA telah melalui banyak perubahan selari dengan perkembangan jabatan dan peranan yang dimainkan serta mengikut keperluan dari semasa ke semasa pihak kerajaan.
Pihaknya akan terus memberikan perkhidmatan terbaik sebagai salah sebuah jabatan di bawah naungan KDN.
Sementalah itu, sesi penyerahan surat niat penubuhan RELASIS Universiti Malaysia Sabah (UMS) oleh Ketua Pengarah RELA kepada Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor.
Seramai 1,548 anggota RELASIS telah berdaftar dalam Briged RELA Siswa Siswi (RELASIS) sehingga Jun tahun ini.
Pada majlis yang sama, sebanyak empat Pusat Latihan RELA telah terpilih sebagai Pusat Bertauliah Sistem Latihan Dual Nasional (PB-SLDN) dan empat Pejabat RELA Negeri iaitu Johor, Pahang, Kedah dan Sabah sebagai syarikat SLDN.
Penyerahan sijil pentauliahan telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran Malaysia (JPK), Kementerian Sumber Manusia, Ts. Zuleah Darsong, kepada Pengarah RELA Negeri dan Pusat Latihan RELA yang terlibat. – SUARA.TV