Oleh Zihan Zari
PUTRAJAYA – Erwin Khairul Ahmad,49, dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Kandungan Digital) Jabatan Penerangan (JaPen) yang baharu berkuat kuasa Isnin menggantikan Julina Johan yang dilantik sebagai Ketua Pengarah JaPen pada 13 Mei lalu.
Erwin merupakan anak kelahiran Kuala Lumpur, memulakan kerjaya awal sebagai Penolong Penerbit Rancangan MEPTV Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) 1998 dan Artis Berjadual RTM (2000) sebelum menyertai JaPen pada 2001.
Menerima pendidikan di Sekolah Menengah Subang Jaya dan Sekolah Menengah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 2, Shah Alam, kemudiannya melanjutkan ke peringkat Sarjana Muda Kepujian Kajian Sebaran Am Komunikasi Massa, Institut Teknologi MARA (ITM) 1998 dan Sarjana Pengajian Media & Informasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) 2008.
Sebelum ini, Erwin menjawat sebagai Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat (PKPM) JaPen.
Beliau mempunyai pengalaman luas dalam bidang komunikasi pernah menjawat beberapa jawatan penting di peringkat negeri, jabatan dan kementerian.
Antaranya, Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan & Analisis Maklumat Kementerian Penerangan (2001-2006), Penolong Pengarah JaPen Selangor (2008-2009), Ketua Penolong Pengarah / Timbalan Pengarah Bahagian Gerak Saraf & Pengurusan Isu (GSPI) JaPen (2009) dan Timbalan Pengarah Bahagian Media Siber JaPen (2018).
Selain itu, Pengarah Bahagian Penerbitan Dasar Negara JaPen (2019), Pengarah JaPen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (2019) dan Setiausaha Bahagian Komunikasi Strategik Kementerian Komunikasi & Multimedia (2021-2023).
Bukan calang-calang orangnya, beliau adalah penerima Anugerah Khas Pengarah Inovatif pada Hari Inovasi dan Kecemerlangan JaPen 2019, apabila ideanya Info On Wheel diguna pakai oleh jabatan itu sehingga kini.
Info On Wheel adalah penyampaian maklumat mengenai program atau dasar kerajaan dibuat melalui alat pembesar suara. Ianya mendapat maklum balas positif daripada masyarakat.
“Alhamdulillah atas pelantikan ini, besar amanah dan tanggungjawab yang diberikan.
JaPen berhadapan dengan pelbagai isu dan maklumat yang menjadi satu lambakan di pelbagai platform, maka amanah yang diberikan ini memerlukan kerjasama jitu daripada rakan-rakan untuk sekurang-kurangnyanya memberikan akses maklumat tepat kerajaan kepada masyarakat, ”kata Erwin ketika mengulas tentang pelantikan itu. – SUARA.TV