Oleh Zihan Zari
PASIR MAS – Helah 3 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warganegara Myanmar cuba menceroboh masuk ke Malaysia berjaya dihidu dan dikesan oleh Tentera Darat Malaysia (TDM) di sempadan Malaysia – Thailand pada Isnin.
Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (MK 2 Divisyen) dalam kenyataannya memaklumkan, tangkapan tersebut berlaku di sektor kawasan tanggungjawab Briged Kelapan Infantri Malaysia (KTJ 8 Bgd).
Menurutnya, pada jam 8 malam, pasukan TDM telah mengesan dan menahan suspek yang cuba menyeberangi Sungai Golok dari arah Thailand di sempadan negara.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati tiga orang perempuan dewasa tersebut merupakan PATI warganegara Myanmar lingkungan umur 20 dan 36 tahun.
“Turut dirampas, 3 buah telefon bimbit, wang dalam matawang Malaysia dan Thailand dengan anggaran nilai keseluruhan sebanyak RM 1033.97.
Suspek dan barang rampasan akan diserahkan kepada Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan selanjutnya, ”ujarnya.
“Pasukan TDM yang beroperasi sentiasa mengawal sempadan negara dan akan terus memastikan keselamatan sempadan terpelihara, ”tambah kenyataan itu. – SUARA.TV