RM105.3 bilion pelaburan baharu dijangka masuk 2024, 984 projek

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Sebanyak RM105.3 bilion pelaburan baharu dijangka masuk ke negara pada 2024 meliputi 984 projek dalam peringkat rundingan di bawah seliaan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), setakat 31 Ogos 2023.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, jumlah itu meliputi jangkaan pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak RM89.5 bilion, manakala pelaburan langsung domestik (DDI) adalah sebanyak RM15.8 bilion.

Menurut beliau, jumlah pelaburan itu merangkumi projek-projek daripada sektor perkilangan dengan cadangan pelaburan sebanyak RM73.6 bilion yang melibatkan 53 cadangan projek serta 931 cadangan projek dalam sektor perkhidmatan di bawah seliaan MIDA dengan cadangan pelaburan sebanyak RM31.7 bilion.

“Pelaburan yang masuk ke semua negeri dapat dilihat melalui projek pelaburan yang telah berjaya diluluskan dalam sektor perkhidmatan, perkilangan dan utama berjumlah RM267.8 bilion sepanjang 2022, melibatkan 4,517 projek dan dijangka mewujudkan 140,440 peluang pekerjaan di negara ini.

“Daripada jumlah ini, pelaburan langsung domestik (DDI) merupakan penyumbang utama dengan jumlah pelaburan yang diluluskan sebanyak RM104.4 bilion (39%), manakala pelaburan langsung asing (FDI) menyumbang sebanyak RM163.3 bilion (61%),” katanya ketika sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat pada Isnin.

Kata beliau, lima negeri utama yang diluluskan pelaburan pada 2022 adalah Johor (RM70.6 bilion), Selangor (RM60.5 bilion), Sarawak (RM28.8 bilion), Kuala Lumpur (RM25.0 bilion) dan Pulau Pinang (RM16.3 bilion).

“Pelaburan yang diluluskan di Lembah Klang iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor hanyalah merangkumi 31.9 peratus. Ini menunjukkan bahawa pelaburan yang diluluskan di Malaysia tidak hanya tertumpu di Lembah Klang,” katanya.

Pada dasarnya, katanya, pemilihan lokasi pelaburan oleh pelabur adalah atas keputusan perniagaan pelabur itu sendiri dan banyak bergantung kepada ekosistem dan kekuatan kluster industri di sesebuah negeri.

“Selain itu, MIDA menyediakan pakej insentif cukai kepada pelabur domestik dan asing bagi menggalakkan pelabur-pelabur ini mengeluarkan keluaran atau menjalankan aktiviti bernilai tambah tinggi dan berteknologi tinggi di bawah Akta Penggalakan Pelaburan 1986,” katanya.

Tambahnya, bagi mengurangkan jurang pembangunan antara wilayah, Dasar Pelaburan Baharu Berteraskan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIP-NIA) turut menggariskan kepentingan keseimbangan wilayah.

“Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 juga turut menetapkan misi menjamin sekuriti ekonomi dan keterangkuman sebagai salah satu misi di dalam NIMP. Kekuatan kluster industri di setiap negeri boleh melengkapi antara satu sama lain dan mendapat manfaat limpahan ekonomi daripada kluster sedia ada.

“Sebagai contoh, Kedah dan Perak mendapat manfaat limpahan ekonomi daripada kluster Elektrikal dan Elektronik (E&E) di Bayan Lepas dan Batu Kawan.

“Limpahan ekonomi ini akan dapat mewujudkan kluster industri baharu atau industri sokongan seperti perkilangan berteknologi tinggi dan aktiviti penyelidikan dan pembangunan di High-Tech Park di Kulim dan Perak yang boleh menyokong kluster E&E di Pulau Pinang,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat