KUALA LUMPUR: Ahli parlimen Sembrong, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussien membidas sesentengah negara yang mempertahankan Israel sedangkan rakyat Palestin terus disembelih dan dijajah lebih 50 tahun.
Tegasnya, ia satu penghinaan terhadap rakyat Palestin.
Katanya lagi, hakikatnya, rakyat Palestin terus menjadi kezaliman rejim Zionis.
“Satu penghinaan apabila sesetengah negara bercakap mengenai hak Israel pertahankan diri tetapi tidak pula bersuara mengenai hak rakyat Palestin, sedangkan merekalah yang terus disembelih dan dijajah lebih 50 tahun!
“Kebenarannya, rakyat Palestin ialah mangsa di sini,
“Tiada orang lain lebih derita dibandingkan dengan rakyat Palestin akibat tindakan kurang ajar Israel,” tegas Hishammuddin menerusi perkongsian videonya.
Ujar beliau lagi, kekejaman rejim Zionis menyebabkan banyak rumah dirobohkan, semakin banyak kematian berlaku dan semakin banyak penderitaan menimpa rakyat Palestin.
Tegasnya lagi, apa yang berlaku ini sangat melampau.
“Ia bukan sahaja penghinaan terhadap umat Islam di seluruh dunia tetapi juga menghina nilai kemanusiaan,
“Kita mesti jelas, apa yang berlaku tidak lain tidak bukan merupakan satu jenayah terhadap kemanusiaan,” bidasnya lagi.
Katanya lagi, dunia mesti berusaha demi kebebasan, kemerdekaan dan keadilan buat rakyat Palestin yang telah ditindas.
“Semoga Allah SWT memberkati usaha kita dan semoga kebebasan dan keamanan menjadi milik saudara mara kita di Palestin, InshaAllah.” katanya.-SUARATV