Seorang lelaki ditahan berkaitan konsert ‘Punk Rock’ di Gua Musang – Polis

- Advertisement -

GUA MUSANG – Polis menahan seorang lelaki berusia 28 tahun bagi membantu siasatan berkait satu rakaman video tular yang memaparkan sekumpulan anak muda sedang berhibur atau menyertai konsert ‘Punk Rock’ yang dipercayai diadakan di sebuah dewan di Paloh di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, hasil siasatan awal mendapati seramai empat kumpulan muzik telah hadir di dewan tersebut iaitu dua dari Kelantan dan masing-masing satu dari Terengganu dan Kuala Lumpur.

“Kain rentang acara dan permohonan sewaan penggunaan dewan dibuat oleh seorang lelaki Melayu yang masih lagi dikesan oleh pihak polis.

“Tempahan dewan dibuat menerusi aplikasi WhatsApp kepada penjaga dewan pada 4 September lalu dengan kadar bayaran sebanyak RM200 secara transaksi dalam talian dengan tujuan untuk bermain muzik,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Choon Foo memberitahu, persembahan muzik diadakan pada 23 September bermula pukul 9 pagi hingga 7 petang dan tiada sebarang tiket dijual bagi persembahan yang dibuat di dalam dewan.

Katanya, hasil siasatan mendapati terdapat seramai 30 orang hadir dalam persembahan hiburan tersebut.

“Semasa persembahan berlangsung terdapat aktiviti meminum minuman keras oleh ahli kumpulan dan orang yang hadir di dewan tersebut serta tiada sebarang permit hiburan dimohon oleh pihak penganjur.

“Hasil ujian saringan awal pihak polis ke atas sampel air kencing didapati negatif daripada sebarang dadah berbahaya dan hasil semakan mendapati tangkapan mempunyai satu kad pesakit mental serta pernah menerima rawatan susulan di Klinik Kesihatan Chiku 3 di sini,” katanya.

Choon Foo berkata, pada masa sama sebuah telefon bimbit turut dirampas bagi membantu siasatan.

Katanya, sehingga kini pihak Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang tidak menerima sebarang permohonan permit penganjuran berbentuk hiburan muzik daripada mana-mana individu atau kumpulan.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 6 Enakmen Hiburan 1998. Pihak polis menyeru kepada mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan sekumpulan anak muda sedang berhibur boleh menyalurkan maklumat di talian 09-9121222 atau balai-balai berdekatan,” katanya. – Utusan

author avatar
Mohd Faizul
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat