KUALA LIPIS: KampungDigital365.com hasil inisiatif MEASAT dah Parcel365 di Kampung Orang Asli (KOA) Tual B Pos Sinderut, Lipis telah dirasmikan oleh Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.
Dalam catatan Facebook Wan Rosdy, beliau berkata, inisiatif ini merupakan yang pertama diwujudkan di negara ini.
Dan katanya lagi, melalui KampungDigital365 ia dapat memperkasakan ekonomi orang asli.
“Saya merasmikan KampungDigital365.com di Kampung Orang Asli (KOA) Tual B Pos Sinderut, Lipis pada hari ini.
“KampungDigital365.com ini hasil inisiatif MEASAT dan Parcel365 merupakan yang pertama diwujudkan di negara ini.” Katanya.
Turut hadir, Ahli Parlimen Cameron Highlands, YB. Dato’ Ramli Dato’ Mohd Nor; Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), YBhg. Puan Hajah Sapiah Dato’ Mohd Nor; Ketua Pegawai Operasi MEASAT, YBhg. Encik Yau Chyong Lim; Pengarah Parcel365, YBhg. Encik Eddie Mok; dan Pegawai Daerah Lipis, YH. Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim.
Dalam pada itu, Wan Rosdy berharap dengan adanya inisiatif ini, penduduk di kawasan pedalaman dapat menikmati kemudahan internet agar mereka tidak ketinggalan dalam arus pemodenan. Insya-Allah, ujar beliau.
MEASAT, syarikat pembekal perkhidmatan satelit kebangsaan dan juga Parcel365, sebuah perkhidmatan penghantaran dan penerimaan bungkusan baru-baru ini telah menandatangani kerjasama untuk memperkenalkan sebuah inisiatif baru yang dinamakan KampungDigital365 yang memanfaatkan kemampuan membekalkan internet dan kemampuan logistik mereka untuk memperkasakan ekonomi Orang Asli.
Barangan yang dijual termasuklah keropok udang, petai, daun pisang, ubi kayu, durian kampung dan juga ayam kampung hidup yang diikat. Kampung Orang Asli Pos Sinderut merupakan perkampungan orang asli pertama yang bersetuju dengan kerjasama ini, dan ia dilihat membantu dalam membolehkan mereka mendapatkan keuntungan yang lebih tinggi apabila menjual barangan mereka, berbanding apabila mereka menjualnya melalui orang tengah.
Kerjasama diantara MEASAT dan Parcel365 ini boleh diumpamakan seperti isi dengan kuku, dimana MEASAT, syarikat disebalik pembekal sambungan internet satelit CONNECTme NOW dan Parcel365 secara lazimnya menggunakan perkhidmatan mereka untuk memperkasakan kehidupan dan ekonomi perkampungan orang asli.
Melalui program KampungDigital365 ini juga, kampung-kampung ini dibekalkan dengan kelengkapan tambahan seperti bekalan kuasa elektrik, pengecas solar, peti sejuk dan sebagainya untuk membolehkan mereka menyimpan barangan jualan yang mudah rosak.