KUALA LUMPUR — Berbaki empat hari sahaja lagi, pada 8 dan 9 Julai ini sebanyak 24 kumpulan dari Malaysia, Indonesia dan Singapura bakal beraksi bermula di Festival Nusa Fest 2023.
Acara yang akan berlangsung di Bandar Malaysia bermula jam 12 tengah hari sehingga 12 malam menampilkan persembahan barisan utama dari kumpulan terkemuka Search, Wings dan Butterfingers.
Selain itu kumpulan-kumpulan lain seperti Fourtwnty, Barasuara, The Pinholes, Masdo, Gerhana Skacinta dan Iqbal M turut bersama memeriahkan Nusa Fest dengan persembahkan mereka nanti.
Ketua Pegawai Eskekutif Shiraz Projects, Shierazdeen Karim berkata apa yang lebih menarik kali ini Shiraz Project dengan kerjasama RIUH akan mengadakan Pasar Nusa di Nusa Fest 2023.
Menurutnya Pasar Nusa akan menghadirkan 80 penjual kraf dan seni kreatif yang mengetengahkan barangan kraf tempatan.
“Ini merupakan kali pertama RIUH bekerjasama dengan NUSA FEST untuk mengurus peruncit yang unik. PASAR NUSA akan mempunyai produk dan vendor yang dipilih secara eksklusif oleh RIUH. RIUH dan NUSA FEST sejajar dalam misi kami untuk membantu menyediakan platform untuk ekonomi kreatif PASAR NUSA dipilih susun oleh RIUH manakala Waknat pula menjadi penyusun atur untuk WARONG NUSA,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
RIUH adalah inisiatif di bawah Kumpulan MyCreative Ventures yang menghubungkan komuniti kratif dengan orang ramai melalui himpunan para usahawan kreatif dan penggiat- penggiat seni tempatan daripada pelbagai cabang industri krea.f termasuk muzik, seni persembahan, kandungan kreatif sastera, seni reka, seni kebudayaan dan tradisional, seni kulinari, seni visual, fesyen dan pendidikan kreatif.
RIUH adalah satu inisiatif dalam usaha untuk melonjakkan industri kreatif Malaysia dengan merancakkan lagi pembangunan sosio-ekonomi industri kreatif negara melalui aktiviti yang dianjurkan seperti kedai ‘pop up’, bengkel kreatif pameran dan persembahan langsung.
Substage juga turut disediakan di PASAR NUSA dengan persembahan akustik dari A.limin, Kolar Hijau, Motherwit, Satwo dan Teman Lelaki .
Manakala ruangan DJ set pula memberikan halwa telinga dari Awyn, Emai, Killah Z, MMK, S.Shahrin, Velvet, Wakmy dan Wayne.
Selain itu, Shierazdeen berkata, Nusa Fest turut menghidangkan pengunjung dengan Warong Nusa yang menyediakan sekitar 60 warung makanan dan minuman.
Ini termasuk vendor-vendor terkenal tempatan seperti Kopi Dua Darjat, Minuum KL, Laiyan KL, Miker Pizza, Sloopyan Hotdog, Nachoslah Global dan pencuci mulut seperti Kelava dan The Gorpis.
“Buat peminat makanan dan minuman Nusantara, NUSA FEST turut membawakan hidangan dari Indonesia khusus buat pengunjung.
“Terdapat 20 trak makanan untuk dinikmati bersama.
“Oleh itu, dalam berhibur bersama penyanyi- penyanyi serta kumpulan kesayangan ramai, mari bersama-sama membantu menjana ekonomi peruncit tempatan dan nusantara serta menghargai produk bersama,” katanya.