KUALA LUMPUR – Projek Mega Ternakan Ayam Pedaging secara tertutup telah dibangunkan di empat lokasi Felcra iaitu Tanjung Seratus, Kuala Rompin Pahang – 300,000 ekor/pusingan; Sungai Damak, Lipis, Pahang – 250,000 ekor/pusingan; Padang Terap, Kedah – 250,000 ekor/pusingan dan Paloh 4, Gua Musang – 250,000 ekor/pusingan.
Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Projek Mega Ternakan Ayam Pedaging secara tertutup yang dilaksanakan oleh Felcra Berhad di kawasan luar bandar berperanan menampung keperluan bekalan makanan dalam negara serta berpotensi mengubah lanskap sebuah pekan kecil atau desa kepada persekitaran berkualiti.
“Ia dapat dilakukan melalui pelbagai aktiviti penjanaan ekonomi setempat seperti aktiviti perkhidmatan dan penyelenggaraan, kerja-kerja lanskap, pembekalan, pembinaan dan kontrak serta aktiviti-aktiviti lain yang berkaitan.
Inisiatif ini akan memberi manfaat kepada generasi warga peserta untuk membina kerjaya serta menjana pendapatan selain dapat mengisi kekosongan jawatan yang akan ditawarkan.
“Program ini juga merupakan kesinambungan dalam usaha Kerajaan untuk terus meningkatkan taraf kehidupan rakyat melalu Pelan transformasi Felcra 2.0 dan seterusnya memperkukuhkan ekonomi negara secara keseluruhannya.
“Sehingga kini terdapat empat lokasi Projek Mega Ternakan Ayam Pedaging Secara Tertutup di seluruh negara,” kata Zahid dalam kenyataan pada Isnin.
Timbalan Perdana Menteri itu juga menegaskan, isu keterjaminan makanan akan menjadi satu elemen penting dalam usaha berterusan kerajaan dalam memastikan perancangan rantaian bekalan di dalam negara terus berdaya tahan dan dapat memberikan kelangsungan kehidupan kepada seluruh rakyat Malaysia.
Pada Januari lalu, Felcra Berhad memaklumkan agensi itu akan mula mengeluarkan ayam daging, beras dan minyak masak mulai tahun ini melalui Pelan Transformasi 3.0 agensi itu, bagi membantu kerajaan memastikan kestabilan dan keterjaminan bekalan makanan asas rakyat di negara ini.
Melalui inisiatif berkenaan, agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu menjangka mampu mengeluarkan enam juta ayam daging setahun untuk pasaran domestik sepenuhnya.
Ia juga dalam perancangan mengeluarkan sendiri produk beras dan minyak masak kepada pengguna dalam tempoh sama bagi menstabilkan bekalan dan harga di pasaran, selain mengembangkan projek fidlot lembunya yang kini sedang dibangunkan di Johor, Perak dan Sabah.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Felcra Berhad, Datuk Mat Roni Zakaria, berkata semua inisiatif itu yang sudah dan akan dijayakan bertujuan membantu kerajaan mencapai keterjaminan makanan dalam tempoh empat tahun seperti diarahkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.