Dunia Arab Perlu Tahu Malaysia Destinasi Pelaburan Terbaik – PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri mahu dunia Arab tahu bahawa Malaysia, dengan pembaharuan dibuat Kerajaan Perpaduan pimpinannya, adalah destinasi terbaik untuk mereka membuat pelaburan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memberi jaminan kepada pelabur asing bahawa negara itu kini diterajui oleh kerajaan yang stabil, yang bukan sahaja telah membentangkan dasar yang jelas, tetapi juga komited untuk memastikan persekitaran mesra perniagaan untuk pelabur asing.

Malaysia juga memberi jaminan kepada pelabur asing bahawa kini tiada lagi ketidakstabilan politik dan mereka boleh menjangkakan pendekatan pelaburan yang lebih progresif dan dinamik daripada Kerajaan Perpaduan kini, berikutan tempoh ketidakstabilan politik di Malaysia sudah berakhir.

Melalui rundingan meja bulat yang diadakan malam tadi, Perdana Menteri meyakinkan pemimpin industri Arab Saudi bahawa kerajaan yang mentadbir kini dengan majoriti dua pertiga, adalah stabil untuk menjadikan Malaysia destinasi yang menarik dan kukuh bagi pelabur asing.

Beliau berkata, kepimpinannya yang berteraskan kepada konsep ‘Malaysia Madani’ itu, dijamin mampu menyediakan peluang perniagaan yang lebih mudah kepada mereka, melalui sektor yang luas.

“Oleh itu, saya meminta komuniti perniagaan untuk menghantar delegasi masing-masing bertemu rakan niaga di Malaysia, seawal-awalnya selepas Ramadan ini.

“Kita menggalakkan anda semua untuk melabur dalam bidang yang kami anggap sebagai keutamaan termasuk teknologi digital, keselamatan makanan dan sudah tentunya dalam pembangunan umum infrastruktur.

“Kami mengharapkan pembabitan anda semua secara aktif di Malaysia,” katanya pada ucaptama kepada komuniti perniagaan Arab Saudi dan Malaysia, di ibu pejabat Bank Pembangunan Islam (ISDB), di Jeddah pada Khamis.

Lapor BH Anwar berkata, selain komited untuk memastikan tata kelola yang baik, pentadbirannya juga memberi tumpuan untuk meletakkan negara pada landasan ekonomi yang lebih rancak dan progresif.

“Malaysia berhasrat untuk melaksanakan pembaharuan…kami sangat gembira melihat kestabilan politik di negara ini.

“Kita berdepan dengan isu yang sama contohnya membabitkan keterjaminan makanan. Melangkah ke hadapan, kita akan melihat kepada perkara membabitkan tenaga boleh diperbaharui dan kami berharap pelabur di Saudi boleh bekerjasama dalam usaha sama dan memanfaatkan kemahiran yang ada di Malaysia,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri bertemu dengan kira-kira 20 pemimpin syarikat daripada negara itu, bagi membincangkan aspek kerjasama dan sektor baharu yang boleh diterokai bersama.

Sementara itu, Pengerusi Dewan Perniagaan dan Perindustrian Jeddah, Sheikh Mohammed Yousuf Naghi, berkata komuniti perniagaan Arab Saudi yakin dengan kestabilan politik di Malaysia, dan teruja untuk meneroka perniagaan ke peringkat seterusnya.

“Perdana Menteri juga sudah dimaklumkan bahawa Malaysia boleh menjangkakan kehadiran delegasi perniagaan Arab Saudi, dalam tempoh kira-kira empat bulan lagi.

Pihak pelabur di Arab Saudi dikatakan berminat untuk meneroka beberapa sektor perniagaan di Malaysia antaranya pembuatan cip mikro dan semikonduktor, penjagaan perubatan serta pendidikan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi pertemuan bersama usahawan pelbagai sektor industri perniagaan dan menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman di Jeddah. –
Perdana Menteri juga dimaklumkan mengenai pelabur Malaysia di Arab Saudi yang dijangka meluaskan pembabitan mereka dalam projek mega kejuruteraan di negara terbabit iaitu pembangunan bandar futuristik NEOM selain banyak lagi peluang yang menanti pihak industri dari Kuala Lumpur.

Turut hadir ialah Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin.

Anwar dan Sheikh Mohammed Yousuf turut menyaksikan pertukaran empat Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai antara syarikat Malaysia dan Arab Saudi, malam tadi.

Ia membabitkan Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, yang mengetuai Dagang NeXchange Bhd, dalam pertukaran dengan Ajlan, konglomerat multinasional yang dengan pelaburan ekuiti persendirian global, hartanah dan perindustrian yang meluas dan Syarikat Kumpulan Holding Bros.

MoU lain adalah antara KLICC dan Syarikat Pengetahuan Wadi Makkah, Mobilityone Sdn Bhd dan Nad/Nesma Co Ltd, serta Qhub International Sdn Bhd dan Eromman Technologies.

Pada majlis itu, Anwar turut meyakinkan komuniti perniagaan berkenaan bahawa Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang turut hadir, berada di barisan hadapan dalam menegakkan aspek ketelusan di Malaysia.

Beliau berkata, Malaysia turut memberi tumpuan kepada pemecutan agenda pembaharuan dan mengukuhkan prinsip asasnya, termasuk tata kelola yang baik.

“Ia adalah dengan menunjukkan contoh yang baik, membersihkan ‘kekotoran’ dan memastikan negara menjalankan hal ehwalnya berdasarkan nilai dan prinsip yang kukuh, menamatkan endemik rasuah, keangkuhan dengan kuasa, serta memastikan rakyat diutamakan.

“Fokus kami juga adalah untuk memastikan penyertaan aktif di seluruh rantaian ekonomi dan program sosial negara,” katanya.

Pada masa sama, Anwar berkata, Malaysia dan Arab Saudi sedang menikmati hubungan timbal balik yang sihat, membabitkan aspek pelaburan.

“Kami mempunyai beberapa pelaburan dalam infrastruktur (dari Arab Saudi) dan ia juga menakjubkan bahawa Malaysia, dengan ekonomi lebih kecil berbanding Arab Saudi, mempunyai pelaburan di sini.

“Saya amat mengalu-alukan sokongan anda semua kerana ia akan memberikan banyak perubahan kepada dunia Islam, dan seterusnya menggalakkan hubungan ekonomi yang lebih rancak,” katanya.

Pada majlis itu, Anwar turut menunjukkan potensi dan daya tarikan Malaysia yang luas sebagai destinasi pelaburan, termasuk dari Amazon Web Services (AWS) yang komited untuk pelaburan sebanyak RM25.5 bilion di negara ini, baru-baru ini.

Untuk rekod, sebagai Menteri Kewangan, Anwar juga adalah gabenor ISDB untuk Malaysia.

Beliau berkata, usaha perlu dilakukan untuk memastikan pusat bank itu di Kuala Lumpur mencipta kesan yang signifikan, selain Pusat Kecemerlangan ISDB meneroka bidang dan disiplin baharu yang berupaya memberi manfaat kepada ummah.

“Manfaatkanlah pusat ini dalam semua bidang, termasuk dalam penyelidikan halal dan juga vaksin.

“Fokus pada cabaran baharu, sains, teknologi, inovasi, keselamatan makanan, pendigitalan dan kecerdasan buatan,” katanya.

Anwar turut menghadiri majlis berbuka puasa di konsulat Malaysia di sini, di mana beliau berkongsi perjuangannya memerangi gejala rasuah dan membetulkan ketidakadilan sosial, yang jika dibiarkan berlarutan, hanya akan menghalang cita-cita Malaysia untuk menjadi sebuah negara yang makmur dan progresif.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat