Ranhill Selesaikan Masalah Bekalan Air Di Rengit Secara Berperingkat

KUALA LUMPUR – Syarikat bekalan air Ranhill SAJ memaklumkan gangguan bekalan air di beberapa lokasi dalam kawasan Rengit disebabkan berlakunya kebocoran pada paip 500mm berdekatan di kawasan Ladang Kelapa Sawit Sri Gading yang menyalurkan tangki air Rengit.

Ranhill dalam kenyataan pada Rabu menyatakan, kebocoran paip tersebut telah berjaya dibaiki dan buat masa ini dalam proses memulihkan air bekalan air ke kawasan kawasan terjejas.

“Beberapa kawasan terjejas telah mula menerima bekalan air bersih dan bakinya melibatkan pengguna yang tinggal di penghujung sistem bekalan air yang dijangka akan menerimanya tidak lama lagi.

“Susulan itu, pihak Ranhill SAJ telah menggandakan usaha untuk menambah baik bekalan air di kawasan terjejas secara berperingkat,” katanya.

Antara langkah yang diambil Ranhill ialah melakukan penyusunan semula bekalan air sedia ada bagi meminimakan gangguan yang berlaku.

“Selain itu, membekalkan air secara ‘in-line injection’ daripada lori tangki air ke sistem paip air di kawasan penghujung bekalan air setiap kali musim perayaan,” jelasnya.