Bawah Pengaruh Dadah, Mental Tak Sihat Hina Agama Wajar Dikecam – Zahid

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Segelintir individu yang menghina agama sangat kecil bilangannya tapi mampu meranapkan ibarat barah.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata,justeru, kebijaksanaan anggota masyarakat adalah didambakan dalam mendepani anasir-anasir seperti ini.

“Paling tidak boleh diterima jika orang Melayu Islam sendiri yang menghina Islam.

“Mereka yang mengucapkan perkataan biadab boleh jadi di bawah pengaruh dadah atau tekanan mental namun, perbuatan mereka adalah wajar dikecam dan dibantah seluruh lapisan masyarakat dan agama,” tegas Zahid dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau menyeru supaya menghentikan perbuatan menghina agama.

“Jangan dimusnahkan keharmonian yang kita bina selama ini. Sejak sekian lama masyarakat berbilang kaum negara ini dibentuk dan dididik untuk saling menghormati.

“Mengapa selepas berpuluh tahun bersama tiba-tiba ada anasir-anasir yang mahu merosakkan.

“Saya fikir yang berkelakuan demikian amat sedikit bilangannya, tetapi mereka ini mampu meranapkan ibarat barah yang berisiko memusnahkan, kerana nila setitik rosak susu sebelanga,” katanya.

Menurut beliau, setiap penghinaan mereka kepada mana-mana agama tidak harus mengundang amarah sesama kita.

“Masyarakat Malaysia tetap sehati sejiwa dan terus bersama memperkasakan kemuafakatan rakyat.

“Kita terus hayati semangat Rukun Negara yang menjadi pegangan kebersamaan kita selama ini,” katanya.