‘Penerbit minta hak tolak artis letak harga’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kru produksi bukan sahaja terjejas teruk ketika pandemik COVID-19, malah, ada yang terpaksa ‘gigit jari’ apabila mendapat upah tidak setimpal dengan hasil kerja dilakukan.

Sebahagian tuntutan tugas kru produksi bukan kerja ringan, sebaliknya tak ubah seperti ‘buruh binaan’, terpaksa berpanas dan berhujan ketika di lokasi penggambaran. Itu belum lagi memikul peralatan penggambaran berat yang berubah-ubah lokasi, setiap masa.

Namun, hari ini, kebanyakan kru produksi terpaksa beralah dan menerima bayaran ‘ciput’ disebabkan syarikat produksi terpaksa mendahulukan upah artis gred A.

Senario ini bukan perkara baharu, malah, dianggap isu lapuk yang berlaku sejak zaman berzaman. Segala usaha persatuan dalam memperjuangkan nasib kru produksi bagaikan mencurah air di daun keladi.

Malah, ada kru masih dibayar gaji pada kadar yang diperkenalkan antara 30 hingga 40 tahun lalu.

Penghujungnya, hanya pelakon menikmati faedah apabila stesen televisyen (TV) menaikkan kadar bayaran, manakala kru produksi masih berdepan dengan isu bayaran ‘ciput’.

Luahan kru produksi menerusi artikel keluaran BH, ‘Upah pelakon naik, kru gigit jari’ pada 17 Februari lalu turut diakui penerbit dan pengarah popular, Shahrulezad Mohameddin.

Pemilik rumah produksi Radius One itu berkata, selagi stesen TV memaksa syarikat produksi dengan memilih artis gred A bagi tujuan menaikkan rating, selagi itulah masalah kos produksi tidak mampu diatasi.

“Terus-terang dikatakan, kami terpaksa ‘menganiaya’ kru produksi dengan memotong upah mereka. Ada masanya kami menukar kru dengan upah lebih murah atau kurang berpengalaman.

“Saya akui, penerbit tewas dengan ‘demand’ artis gred A atas pilihan stesen TV. Nak tak nak, kami kalah disebabkan tekanan stesen TV yang mahukan artis tertentu ada dalam senarai drama.

“Artis gred A letak harga disebabkan permintaan tinggi. Masa inilah, mereka ‘bermain’ dengan harga yang tidak masuk akal.

“Ada sesetengah artis ini sengaja letak harga sebagai satu cara menolak tawaran disebabkan menerima banyak projek kerja,” katanya kepada BH Online.

Shahrulezad berkongsi, dia pernah berdepan pengalaman dengan seorang artis letak harga sehingga RM8,000 untuk satu episod. Nilai itu lebih tinggi bayaran untuk pengarah.

“Malangnya, ada sesetengah penerbit terpaksa tunduk dengan harga ‘melangit’ disebabkan tidak berani melawan stesen TV. Kesudahannya, terpaksa potong kos lain seperti upah kru dan perbelanjaan produksi.

“Memang dalam dilema, namun, ia memaksa sesetengah penerbit mencari alternatif untuk mengurangkan kos.

“Di sinilah berlaku penerbit terpaksa menekan pasukan produksi agar menyelesaikan penggambaran cepat. Lebih baik penggambaran diselesaikan segera agar jimat kos dan dapat pulangan semula atas bayaran artis yang tinggi.

“Jadi, hasilnya kerja hanya cincai,” katanya.

 

Shahrulezad berpendapat, selagi stesen TV memaksa syarikat produksi dengan memilih artis gred A bagi tujuan menaikkan rating, selagi itulah masalah kos produksi tidak mampu diatasi. - Foto IG Shahrulezad Mohameddin
Shahrulezad berpendapat, selagi stesen TV memaksa syarikat produksi dengan memilih artis gred A bagi tujuan menaikkan rating, selagi itulah masalah kos produksi tidak mampu diatasi. – Foto IG Shahrulezad Mohameddin

 

Pengarah drama fenomena, Nur itu berkata, ada sesetengah stesen TV tidak ambil kisah dan peduli nasib kru produksi.

“Dari sudut pemasaran, stesen TV percaya bukan kru yang mahu dijual, sebaliknya barisan artis dalam drama.

“Jadi, mereka ambil pendekatan tidak peduli. Jadi, penerbit kena guna jalan pintas mencantas kos produksi, asalkan tidak rugi,” katanya.

Tambah Shahrulezad, isu stesen TV menaikkan bayaran agar dapat diagihkan sama rata antara artis dan kru bukan satu jaminan.

“Berdasarkan pengalaman, selalunya paling awal letak harga tinggi adalah kelompok artis gred A jika stesen TV menaikkan harga bayaran.

“Mereka letak harga kepada penerbit dan tiada sebab menggunakan alasan tiada bajet nak bayar artis.

“Hakikatnya, artis dan syarikat pengurusan yang ‘rembat’ keuntungan. Namun, jangan salah faham, saya tiada isu dengan harga yang diletakkan sesetengah artis gred A.

“Bagi saya, itu hak mereka. Tetapi, perlu berlaku adil kepada penerbit dan kru. Kami perlu diberi hak menolak kadar bayaran pelakon tanpa tekanan stesen TV. Semua orang ada hak,” kata Shahrulezad.

Shahrulezad berkata, dia mencadangkan agar harga artis gred A yang dipilih dibayar stesen TV, bukannya penerbit.

“Itupun dengan harapan golongan penerbit tidak tamak dan menaikkan harga upah kru. Dan kru juga perlu menambah baik nilai profesional pekerjaan agar berbaloi untuk syarikat produksi memperjuangkan upah.

“Bagaimanapun, bukan semua artis gred A sejenis ‘mencekik darah’. Ramai masih boleh bertolak ansur dan bertimbang rasa. Mereka juga faham dilema penerbit dan rumah produksi,” katanya.

Sementara itu, pelakon dan penolong pengarah produksi Radius One, Nurlina Syafiqah Zakbah atau Uchee berkata, upah kru masih pada tahap sama.

“Kebiasaannya, gaji kru ikut pengalaman dan prestasi. ‘Rate card’ atau daftar tarif ada sebenarnya, tetapi ia sangat subjektif.

“Ada produksi tidak menggunakan daftar tarif dikeluarkan persatuan. Dan persatuan tidak pula datang membuat pemeriksaan upah dan kebajikan kru.

“Dan seperti kita tahu, bayaran kru selalu dikurangkan disebabkan memenuhi permintaan bayaran artis.

“Perkara ini sudah lama berlaku, kru produksi sudah lama reda dengan situasi ini. Janji bayaran diterima masuk akal dan ada kerja.

“Namun, bagi saya, soal upah kru ini terserah mengikut budi bicara produser dan produksi,” kata Uchee.

 

Bazly mengakui, tiada peningkatan gaji kru sejak bekerja dalam bidang di sebalik tabir sedekad lalu. - Foto IG Bazly Hanif
Bazly mengakui, tiada peningkatan gaji kru sejak bekerja dalam bidang di sebalik tabir sedekad lalu. – Foto IG Bazly Hanif

 

Kata Uchee, kru memang sukar meneruskan survival sejak era pandemik.

“Seperti diketahui, kru balik tabir yang bekerja makan gaji bergantung pada kontrak atau projek.

“Nak meneruskan survival hidup ketika era pandemik hanya menggunakan duit simpanan. Jika pandai menyimpan, adalah.

“Namun, ada sesetengah rumah produksi ambil peduli kesukaran kru dengan memberi sumbangan,” katanya.

Sementara itu, pengurus produksi, Bazly Hanif berkata, tiada peningkatan dengan gaji kru sejak bekerja dalam bidang di sebalik tabir sedekad lalu.

“Paling terkesan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Namun, kru bernafas semula ketika pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) apabila dibenarkan bekerja.

“Namun, banyak syarat ditetapkan termasuk penetapan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat. Saya akui, ada sesetengah kru masih tidak boleh bekerja.

“Tidak dinafikan, ada sesetengah penerbit meletak upah kru tanpa ikut ‘rate card’ ditetapkan Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA).

“Hinggakan kru berpengalaman terpaksa terima tawaran dengan gaji rendah kerana tiada pilihan. Kadar upah kru masih pada takuk lama sejak dahulu lagi.

“Ia menyebabkan ramai kru sukar mempunyai kehidupan stabil. Malah, kadar upah ada juga semakin berkurang disebabkan beberapa faktor diberikan penerbit.

“Antaranya, kadar bayaran stesen TV tidak tinggi dan kos produksi semakin mahal.

“Namun, alasan paling popular membabitkan bayaran untuk artis gred A mahal, jadi penerbit terpaksa mengurangkan kadar upah kru.

“Hakikatnya, kru sentiasa ditindas. Mereka juga tiada hak bersuara. Malah, ada persatuan yang sepatutnya membela nasib kru tidak membantu.

“Kadar upah bayaran kru dikeluarkan persatuan juga tidak diendahkan penerbit. Ada pula sesetengah penerbit ambil kesempatan beri bayaran tidak setimpal,” kata Bazly.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat