FILEM: King Richard
PENGARAH: Reinaldo Marcus Green
PENULIS SKRIP: Zach Baylin
PELAKON: Will Smith, Aunjanue Ellis, Saniyya Sidney, Demi Singleton, Tony Goldwyn, Jon Bernthal
TERBITAN: Westbrook Studios, Star Thrower Entertainment, Keepin’ It Reel
ULASAN: Syafil Syazwan Jefri
(Ulasan filem ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pemerhatian dan pengalamannya menonton filem berkenaan)
WALAUPUN filem ini sudah beberapa bulan ditayangkan, di Malaysia, filem berjudul King Richard ini masih lagi menjadi filem baharu.
Sebagai penggembar filem bercorak biografi, kehadiran filem King Richard sememangnya dinantikan oleh saya.
Bintang utamanya, Will Smith juga menjadi antara sebab kenapa filem ini mencuri perhatian memandangkan kita semua sedia maklum mengenai kemampuannya melakonkan apa juga watak.
Memegang peranan sebagai Richard Williams, Smith nampaknya berjaya menghidupkan watak bapa kepada dua bintang tenis dunia iaitu Venus dan Serena Williams itu.
Secara ringkasnya, King Richard arahan pengarah Reinaldo Marcus Green ini adalah filem yang berkisar mengenai perjalanan Richard membesarkan dua bintang tenis itu di samping beberapa anak-anaknya yang lain.
Penonton dibawa menyelami perjalanan kehidupannya dari bagaimana dia sendiri melatih anak-anaknya sehinggalah mereka berjaya menjadi pemain tenis bertaraf antarabangsa.

Sepanjang perjalanan itu, penonton dihidangkan dengan pelbagai konflik dalam keluarga mereka, isu perkauman, gengsterism dalam komuniti kulit hitam, dan bagaimana Richard sendiri berperang dengan sikap ego yang ada dalam dirinya.
Sentiasa mahukan yang terbaik buat anak-anaknya, sikap berjaga-jaganya tanpa dia sedari melukakan anak-anak dan isterinya.
Namun, tentunya segalanya berakhir dengan indah sekaligus membuka mata dunia untuk menerima bakat dan kehebatan Venus serta Serena di pentas tenis dunia.
Apa yang lebih menarik pada pandangan saya sebagai penonton adalah, apabila Richard kerap merakamkan momen ketika sesi latihan dan ketika anak-anaknya bertanding.


Rakaman lama itu kemudiannya dipertontonkan semula di bahagian akhir filem.
Berbalik kepada lakonan Smith, ekspresi wajah, gerak tubuh, suaranya, semuanya melengkapkan watak Richard dan berjaya meyakinkan penonton.
Itu sekali gus menambah satu lagi kepelbagaian lakonan Smith dalam arena lakonan sekaligus diangkat sebagai pelakon terbaik oleh American Film Institute dan National Board of Review.
Dua entiti sama juga turut menobatkan filem ini sebagai filem terbaik sepanjang 2021.
Harian Metro