MUAR – Presiden Amanah, Mohamad Sabu menyatakan komitmen bahawa Pakatan Harapan (PH) tidak akan sesekali ‘menguis’ PKR dan diganti dengan parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) seperti khabar angin yang tersebar.

Tegas beliau, Amanah dan DAP akan terus bersama PKR di bawah payung PH sekali gus menangkis tohmahan komposisi PKR akan diganti MUDA malah menganggap ia sebagai pendapat awam sahaja.

“Kami Amanah, DAP akan terus bersama PKR.

“Ura-ura MUDA akan ganti PKR dalam PH itu saya anggap pandangan seseorang, kita tak boleh halang kerana manusia memberi pandangan

“PKR duduk dalam PH. Tidak ada masalah, tidak timbul bersama (tanding logo berbeza) atau tidak,” tegas beliau kepada Suara.TV.

Sebelum ini ada khabar angin di media sosial mengatakan MUDA cuba ‘sailang’ PKR dalam PH, susulan tindakan PKR memilih untuk bertanding di Johor dengan logo sendiri.

Dalam pada itu, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja memberitahu ‘perebutan’ kerusi di DUN Larkin cuma kes terpencil malah kes sama pernah berlaku ketika era Pakatan Rakyat sebelum ini.

“Kita dulu dalam Pakatan Rakyat ada beberapa tempat berlaku pertembungan terutama sekali di Terengganu dan juga berlaku di Kota Damansara. Di mana calon waktu itu daripada Pakatan Rakyat ditentang oleh PAS yang duduk juga dalam Pakatan Rakyat, bagi kita tempat yang berlaku itu berasingan secara umumnya.

“… dan kita akan menyokong calon-calon dalam PH ini. Bagi yang tidak bertembung tak ada masalah namun, yang bertembung mereka hadapi di tempat itu saja,” jelas bekas Menteri Pertahanan itu lagi.

Ditanya sama ada sebelum tercetusnya ketegangan di Larkin, PKR dan MUDA berbincang atau tidak.

Kata Mohamad mungkin ia telah dirunding bagaimanapun tiada kata putus dicapai maka berlakulah ‘perebutan’.

“Larkin itu serah kepada mereka (MUDA dan PKR). Barangkali perbincangan berlaku tapi tak dapat kata putus.

“Ini (pertembungan) bukan perkara baru dulu dah berlaku dalam Pakatan Rakyat sebegitu rupa tapi Pakatan Rakyat tak berpecah

“Itu dah berlaku 2008, 2013 ada tempat-tempat tak dapat diselesaikan Pakatan Rakyat waktu itu terus berjalan itu cuma ‘isolate’ kes saja,” ulas Mohamad dalam ceramahnya di DUN Maharani, malam tadi.

Terdahulu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui kecewa dengan parti MUDA kerana meletak calon bagi kerusi DUN Larkin dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Katanya, PH tidak mempunyai masalah dari segi calon bertanding dalam PRN Johor tetapi isu timbul di DUN Larkin membabitkan MUDA.

“Kita serahkan kepada rakyat untuk menilai dari segi sokongan.

“Rakyat memerlukan pembangkang yang kuat dan konsisten yang tidak boleh disogok atau dibeli,” katanya.

Calon MUDA Rasid Abu Bakar bertembung dengan wakil daripada PKR, Dr Zamil Najwah Arbain yang membabitkan pertembungan enam penjuru di Larkin.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob