Oab pertaruh genre balada

SINGLE sulung berjudul Kisah Antara Kita yang dilancarkan pada 2018 berjaya memperkenalkan nama One Avenue Band (OAB) di persada muzik tanah air.

Malah, lagu itu juga memberi tuah buat OAB yang dianggotai Reyhan (penyanyi), Shana (penyanyi), Apit (bass), Madey Vai (gitar & keyboard) dan Kimy (dram) apabila mereka meraih populariti luar biasa.

Lebih membanggakan apabila lagu bergenre balada itu dipilih ke peringkat separuh akhir program Muzik Muzik 33.

Terbaharu, kumpulan yang bermula sebagai pemuzik jalanan (buskers) selama lima tahun di Pasar Karat JB, Johor Bahru itu muncul dengan single keempat, Aku Cinta Aku Pasrah.

Sekali lagi, Reyhan bertanggungjawab menghasilkan sepenuhnya lagu itu sementara gubahan dan susunan muzik oleh pemain keyboard OAB, Madey Vai yang juga orang kelainan upaya (OKU) cacat penglihatan.

“Lagu ini adalah kesinambungan daripada single ketiga kami iaitu Takkan Tercipta. Ia menceritakan seorang wanita yang mengelak daripada saya. Saya suka dia, dia juga suka saya sebenarnya, tapi dia mengelak.

“Kiranya single terbaharu ini menjawab kenapa dia mengelak daripada saya. Jawapan pada persoalan terjawab dalam lagu ini yang mana wanita itu sebenarnya sakit dan mengetahui dia tidak akan hidup lama,” katanya.

Reyhan, 25, berkata, OAB kembali mempertaruhkan genre balada menerusi lagu Aku Cinta Aku Pasrah ini disebabkan permintaan peminat selain berasakan mereka sesuai menyanyikan genre itu.

“Single kedua kami sudah cuba pop rock, tapi mendapat komen daripada peminat mengatakan mereka lebih suka kami menyanyikan lagu genre balada sama seperti lagu Kisah Antara Kita.

“Disebabkan itu, single ini kami cuba kekalkan genre sama untuk menepati cita rasa pendengar. Kalau ikut pilihan kami, takut tidak diterima pula. Sebab kita nak orang dengar lagu kita. Apabila mereka mencadangkan genre itu, kami ikut. Alhamdulillah, sambutan pun bagus,” katanya.

Berkongsi mengenai perjalanan seni kumpulan mereka, Reyhan menyifatkan OAB berjaya berada pada tahap yang tidak pernah difikirkan sebelum ini. Apatah lagi berjaya menambat hati pencinta muzik tempatan.

“Kerjaya untuk menjadi anak seni, alhamdulillah kami sudah pun sedikit berjaya. Maksudnya, kami dapat menembusi industri muzik tempatan. Saya berasakan ia naik satu tahap berbanding dahulu kami ‘busking’ tepi jalan dan di bazar karat, sehingga kami diterima orang sekeliling.

“Dari situ juga kami dapat tawaran membuat persembahan. Paling membanggakan apabila single Kisah Antara Kita diterima baik peminat selain layak ke peringkat separuh akhir Muzik Muzik 33. Alhamdulillah, video muzik lagu Kisah Antara Kita sudah mencecah lebih 38 juta tontonan di saluran YouTube Futuremusic Entertainment.

“Dengan kejayaan itu, alhamdulillah, kami puas hati sebab kami boleh buka mata orang yang mana walaupun bermula dengan ‘busking’ dan band, kita juga boleh berjaya. Jadi, puas hati sangat sebab dapat naikkan tahap kerjaya kami,” katanya.

Reyhan juga yakin jika identiti muzik dibawa OAB dengan sentuhan gubahan oleh Mahathir menjadikan mereka berbeza dengan kumpulan sedia ada.

“Kelebihan kami mungkin dari segi penggubah lagu kami iaitu abang Mahathir ialah OKU. Malah, untuk persaingan dari segi lagu, kami hasilkan ikut cita rasa pendengar. Sebab ada juga dalam kalangan peminat kami yang inginkan kami kekal pada genre sama.

“Namun, dalam masa sama kami juga cuba nak menjadi band yang universal yang mana boleh buat semua genre dan lagu. Tapi kalau nak bercakap soal bersaing, kami kuat dengan genre balada,” katanya.

Apa yang pasti, Reyhan yang turut mewakili OAB berharap lagu Aku Cinta Aku Pasrah itu dapat memenuhi cita rasa peminat selain mahu ia berjaya seperti single pertama mereka.

“Tak minta lebih, memanglah kalau boleh nak macam single pertama yang sampai tahap diterima baik dan bertanding, tapi untuk masa sekarang kami dapat tempat di hati pendengar pun sudah cukup. Janji mereka sokong karya kami pun sudah memadai dan kami bersyukur.

“Insya-Allah, selepas ini kami cuba nak keluarkan lagu-lagu yang ikut trend muzik semasa. Kalau keluar lagu yang tak kena pun, tidak ada siapa nak dengar pula. Tapi tengok juga, kalau muzik tak kena tapi lagu unik, orang boleh terima juga. Kalau untuk kolaborasi memang ada dalam perancangan, insya-Allah,

tapi tak tahu dengan siapa, itu syarikat rakaman yang uruskan,

” katanya.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat