Misi baharu Mawi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan penyampai radio, Mawi bakal menjayakan program amal, GoKelantan, November depan.

Kempen yang dikendalikan secara kerjasama Lembaga Pelancongan Kelantan dan Radio Zayan itu bakal menyaksikan Mawi atau nama sebenarnya, Asmawi Ani, membersih dan memulihara seni bina masjid dan surau di negeri yang mendapat jolokan Serambi Makkah itu.

“Saya baru pulang dari Kelantan untuk membincangkan mengenai kempen berkenaan bersama Tengku Laksamana Kelantan, Tengku Abdul Halim Sultan Ibrahim.

“Baginda berpuas hati dengan perjalanan kempen terbabit dan menyokong penuh usaha kami.

 

 

Mawi akan memulakan misi projek amal, GoKelantan yang antara lain membabitkan kerja membersih dan memulihara seni bina masjid dan surau di Kelantan, November depan. Foto IG Mawi
Mawi akan memulakan misi projek amal, GoKelantan yang antara lain membabitkan kerja membersih dan memulihara seni bina masjid dan surau di Kelantan, November depan. Foto IG Mawi

“Antara aktiviti yang bakal dianjurkan adalah membersih dan memulihara seni bina masjid bersejarah dan surau di seluruh negeri, selain melawat lokasi yang memiliki kisah keagamaan,” katanya kepada BH Online.

Mengulas pemilihan Kelantan sebagai destinasi kerja amal, penyanyi yang berasal dari Felda Taib Andak, Kulai, Johor itu memberitahu negeri itu memiliki nilai sentimental dalam kerjayanya.

“Menurut syarikat pengurusan saya, Maestro, selepas saya meninggalkan AF, Kelantan adalah negeri pertama yang mengundang saya mengadakan persembahan.

“Jadi, negeri ini menyimpan kenangan manis.

“Walaupun saya anak jati Johor, berbakti kepada negeri lain ini adalah bukti kita semuanya adalah satu. Malaysia itu adalah kita semua,” ujar suami kepada pelakon Ekin ini.

Tambah penyanyi yang popular dengan lagu Aduh! Saliha ini, program amal terbabit akan dirakamkan dalam bentuk travelog untuk disiarkan di YouTube dan televisyen (TV).

“Kembara saya akan dirakamkan sepanjang perjalanan. Saya akan menjadi hos bersama seorang artis Kelantan sebagai pengacara undangan.

“Selain itu, kami juga akan bekerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS). Ini bermakna program itu akan dijual kepada stesen TV. Cuma stesen mana, perkara itu belum diputuskan lagi.

“Projek lain yang menyusul sejajar dengan kempen berkenaan adalah konsert khas berkonsepkan Mawi & Friends,” katanya.

Dalam perkembangan lain, selepas filem Tiada Tajuk, penyanyi berusia 39 tahun ini akan kembali duduk di kerusi sutradara untuk mengarahkan drama bersiri berjudul Ali.

“Saya masih mengetengahkan tema keagamaan. Drama 13 episod ini berkisar kisah gangster dan kumpulan tabligh.

“Antara pelakon yang bakal membintangi drama bersiri ini ialah Johan As’ari, Amirul Affend, Along Cham dan saya sendiri. Penggambaran akan bermula, Sabtu ini.

“Kami akan buat episod pengenalan yang akan disiarkan di saluran penstriman patuh Syariah, Nurflix,” katanya yang bakal muncul dengan single baharu berjudul Cahaya Malaika.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat