Kuala Lumpur – Tanggungjawab meletakkan kepentingan rakyat dan negara sebagai agenda utama lebih penting daripada mengejar jawatan, kata Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, tanggungjawab tersebut termasuklah mewujudkan kestabilan politik dan kerajaan, sekali gus membantu mengukuhkan ekonomi negara dan sistem perkhidmatan kepada rakyat.
“Saya dan rakan-rakan mengambil satu keputusan yang besar untuk bersama-bersama memperkukuhkan Bersatu dan menjamin kestabilan kerajaan PN, pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Tumpuan kita pada hari ini untuk membantu rakyat yang sedang berhadapan dengan suasana yang cukup getir akibat pandemik Covid-19,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan sambutan Bulan Kebangsaan 2020 dan melancarkan Kempen Kesedaran Covid-19 peringkat kementerian di sini hari ini.