KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin memaklumkan bahawa polis telah diarahkan membuat siasatan berhubug sebuah rekaan grafik pada kulit sebuah buku yang didakwa menghina jata negara.
Menurut Hamzah juga, polis turut diarahkan untuk mengambil tindakan tegas berhubung perkara itu.
Katanya, Seksyen 3(1)(a) Akta Lambang dan Nama (1963) memperuntukkan bahawa adalah menjadi kesalahan bagi sesiapa meniru lambang yang serupa lambang kerajaan persekutuan, iaitu jata negara.
“Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melakukan perbuatan tidak patriotik dan bertanggungjawab ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, timbalan pengarah bahagian Siasatan dan Perundangan, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Faridalathrash Wahid dilaporkan berkata, pihaknya sudah menerima maklumat berhubung penerbitan buku itu dan sedang menjalankan siasatan.