KUALA LUMPUR: PETRONAS terus menjadi perhatian selepas muncul dakwaan bahawa syarikat minyak dan gas nasional itu bakal melaksanakan pemecatan kakitangan susulan perjanjian formula agihan gas asli dengan syarikat petroleum Sarawak, Petros.
Dalam kenyataan rasmi yang diterima Suara.TV, PETRONAS menekankan komitmennya terhadap strategi tenaga masa depan serta usaha meningkatkan produktiviti dan kecekapan operasi.
Namun, kenyataan itu tidak menyentuh secara langsung persoalan sama ada langkah rasionalisasi melibatkan pemecatan pekerja akan dilakukan.
“PETRONAS akan terus fokus pada usaha menjadi organisasi berprestasi tinggi dengan menambah nilai bagi semua pihak berkepentingan,” menurut kenyataan tersebut.
PETRONAS sebelum ini mengumumkan pelbagai inisiatif transformasi untuk kekal relevan dalam sektor tenaga global yang sedang berubah, tetapi isu pemecatan pekerja masih belum diperjelaskan.
Semalam SuaraTV menerbitkan laporan mengenai kemungkinan Petronas terpaksa mengurangkan pekerja berikutan kemugkinan kehilangan hampir 30 peratus pendapatan akibat pengambilan aset-aset gas aslinya oleh Petros.
Pada Februari tahun ini, Petros dilantik sebagai gas aggregator tunggal di Sarawak dan akan berperanan menjalankan semua aktiviti yang berkaitan dengan perolehan, pembekalan, pengedaran serta penjualan gas asli di Sarawak.
Sebelum ini SuaraTV turut melaporkan mengenai pandangan penganalisis industri bahawa keuntungan bersih Petronas bakal terjejas khususnya RM20 bilion yang diperoleh daripada pengeluaran gas di Sarawak setiap tahun.
Pertikaian Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak telah berlanjutan beberapa tahun berikutan tindakan Kerajaan Negeri Sarawak mahu syarikat kerajaan negeri mengambil alih peranan Petronas di peraiaran Sarawak.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Abang Openg sebelum ini mencabar pihak yang tidak berpuas hati dengan kerjasama antara Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dengan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) supaya membawanya ke mahkamah.
Abang Johari berkata, kerjasama dua syarikat terbabit dalam industri minyak dan gas berlandas di Sarawak dibuat berlandaskan undang-undang.
Justeru katanya, tidak timbul isu Sarawak cuba memonopoli industri minyak dan gas menerusi Petros dengan mengambil hak Petronas.
Abang Johari berkata, mengikut lima undang-undang yang ada, ada beberapa perkara penting dalam industri minyak dan gas membolehkan Petros memainkan peranan penting.
Lima undang-undang yang meletakkan industri minyak dan gas di bawah bidang kuasa Sarawak ialah Kanun Tanah, Ordinan Perlombongan Minyak 1958, Ordinan Pengagihan Gas 2016, Perlembagaan Malaysia dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Petros dan Petronas bekerjasama dalam lingkungan undang-undang itu yang mana Sarawak mempunyai hak (dalam industri minyak dan gas).
Manakala Petronas dikatakan berpegang kepada Seksyen 2 Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974, Petronas memegang hak pemilikan eksklusif ke atas semua sumber petroleum di daratan dan luar pesisir.
Bagaimanapun pemerhati tidak menjangkakan perkara ini akan di bawa ke mahkamah berikutan kelemahan politik kerajaan Persekutuan yang memerlukan sokongan 31 Ahli Parlimen Sarawak.-SUARATV