Kem Zahid VS Ismail Sabri: Akhirnya Kita Semua UMNO, Berdamailah – Khairy

KUALA LUMPUR- “Kita mau perkara sama, iaitu victory (kemenangan) UMNO-BN dalam PRU akan akan datang,” kata Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Hal demikian katanya beliau meminta dua kem dalam UMNO yakni pro Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membina hubungan yang lebih harmoni antara dua kumpulan ini.

Khairy yang juga Timbalan Ketua Umno bahagian Rembau itu berkata punca yang mengundang ketegangan antara dua kem ini ialah “ada dalam kerajaan dan tidak ada dalam kerajaan”.

“Saya nampak mungkin ada sikit masalah antara pemimpin-pemimpin yang dalam kerajaan dan tidak ada dalam kerajaan yang sebenarnya dapat diselesai dengan baik,” katanya dalam program temu bual secara langsung bertajuk “Dilema dan Politik Covid” malam tadi.

“Kadang kita rasa terhimpit, sebab kebetulan pula sekarang ini kepimpinan parti tidak dicermin dalam kepimpinan kerajaan, kita di dalam UMNO ni selalu sinonim dengan Presiden adalah PM, PM adalah Presiden UMNO.

“Menjelang, Perhimpunan Agung UMNO walaupun ditangguh disebabkan banjir, Omicron dan sebagainya, saya harap kita dapat murnikan balik kepimpinan parti dan kepimpinan kerajaan, sebab akhirnya kita UMNO, semua kita daripada UMNO,” kata Khairy yang juga Menteri Kesihatan.

Susulan itu, beliau menangkis tohmahan bahawa kerajaan cuba membelakangkan UMNO dengan melaksanakan SOP yang lebih ketat semasa Pilihan Raya Negeri Melaka dengan menghalang ceramah dan lawatan dari rumah ke rumah semasa berkempen.

“Untuk PRN (Melaka) ini memang rakyat melihat bahawa PRN bakal mencetus gelombang jangkitan yang baru, sebab rakyat ingatkan kepada PRN Sabah, yang mana pada masa tu tak ada vaksin dan pematuhan kepada SOP adalah sangat longgar. Dan kita tengok kes meningkat mendadak.

“Kita nak elak benda ni berlaku semula, kita terpaksa memperketatkan SOP, dan dalam memperketatkan sop, ada yang marah, kata ceramah tak boleh lawatan rumah ke rumah tak boleh. Mereka kata ni membelakangi parti, saya rasa tidak, saya laksanakan tugas saya sebagai menteri kesihatan,” katanya.

Sementara itu, Khairy berkata PAU boleh diadakan sekiranya negara tidak dilanda gelombang Omicron yang besar.

“MOH (Kementerian Kesihatan) akan bantu supaya UMNO jalankan PAU dengan selamat dan hebat.

“Saya tunggu untuk menghadap Presiden untuk memberi maklumat tentang SOP, saya nak Umno menjayakan PAU,” jelas Khairy.