SKM Bantu Mangsa Banjir

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah melaksanakan Program Tanggunjawab Sosial Korporat (CSR) terhadap mangsa banjir.

Dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan
bantuan banjir SKM bersama Gerakan Koperasi Malaysia membantu mangsa-mangsa banjir yang melanda beberapa negeri baru-baru ini.

Pengerusi Koperasi Pelaburan Kakitangan Bank Muamalat Malaysia Berhad (Koputra) merangkap Pengerusi Program yang mengetuai misi pasca banjir di daerah Temerloh dan Mentakab, Zaharuddin Alias berkata, inisiatif mengadakan program ini adalah bersesuaian dengan prinsip ketujuh gerakan koperasi iaitu prihatin terhadap masyarakat dimana koperasi sentiasa prihatin dan responsif terhadap apa yang berlaku dalam masyarakat sekeliling.

“Sebanyak RM200,000 hasil sumbangan Suruhanajaya Koperasi Malaysia bersama Gerakan Koperasi Malaysia telah berjaya dikumpul bagi membiayai bantuan dalam bentuk barangan keperluan asas, makanan, pakaian, wang tunai serta peralatan pembersihan untuk diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir di Shah Alam, Klang, Hulu Langat dan Tanjung Karang.

“Seramai 24 anggota sukarelawan terdiri daripada kakitangan Suruhanjaya Koperasi Malaysia serta 10 buah koperasi telah turut terlibat mengedarkan bantuan serta kerja-kerja pembersihan,” kata beliau.

Antara koperasi-koperasi yang terlibat adalah Koperasi Pelaburan Kakitangan Bank Muamalat Malaysia Berhad (Koputra), Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (Koop Sahabat) serta Koperasi Kakitangan Bank Simpanan Nasional Berhad (Kobanas).

Zaharuddin menambah, misi pasca banjir yang digerakkan ini terbahagi kepada dua fasa iaitu fasa pertama menyalurkan sumbangan bantuan makanan kepada mangsa banjir manakala fasa kedua iaitu membantu kerja-kerja pembersihan rumah anggota-anggota koperasi yang terjejas akibat banjir di kawasan Mentakab dan Temerloh.

“Program CSR ini akan diteruskan ke tiga lagi lokasi iaitu daerah Hulu Langat, Kuala Selangor serta Lanchang di Pahang pada 1 Januari 2022,” ujarnya.