Hormati penonton pegangan Darrel dalam berkarya

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pernah beberapa kali meraih pengiktirafan antarabangsa dalam pembikinan filem ‘indie’, Chia Chee Sum, 37, berpegang prinsip menghormati penonton dalam berkarya.

Chia atau mesra dipanggil Darrel, yang baru-baru ini meraih trofi Talents Tokyo 2020 Award melalui filem cereka pertama arahannya, Oasis of Now, mengaku tidak pernah ‘syok sendiri’.

“Saya lebih suka menghasilkan karya yang dekat di hati penonton. Ini bererti saya sama-sama merasai pengalaman dan rasa hampir dengan penonton.

“Saya buat filem bukan kerana syok sendiri. Malah, saya selesa memperkenalkan diri sebagai pembikin filem indie,” katanya.

Selain kejayaan di Tokyo, Oasis of Now pernah menjadi tumpuan pada Festival Filem Antarabangsa Locarno di Switzerland.

Filem garapan Darrel turut terpilih menyertai SEAFIC Script Lab iaitu makmal perkembangan skrip yang membantu pembikin filem mengembangkan skrip.

Selain itu, filem pendek arahannya, High Way meraih Anugerah Khas Juri pada Festival Filem Pendek Busan Ke-35 pada 2018.

Darrel mengaku cenderung mendapat ilham untuk berkarya di lokasi tertentu.

“Daripada situ, saya zahir dan lahirkan perasaan atau emosi yang boleh mendekatkan saya dengan subjek berkenaan.

“Itulah cara saya mengembangkan cerita atau menjadikannya sebuah konsep yang diingini,” katanya yang baru-baru ini ditampilkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dalam program Spotlight yang disiarkan di saluran YouTube rasmi agensi itu.

Darrel mengaku lebih bersemangat untuk berkarya selepas meraih trofi atau pengiktirafan.

“Namun, bagi saya, apabila filem itu berpeluang dipertontonkan pada festival, tidak kira dalam atau luar negara, sudah jadi pencapaian manis.

“Apatah lagi diumumkan sebagai pemenang… Ia dianggap bonus,” katanya

 

Darrel Chia Chee Sum (empat dari kanan) cenderung menghasilkan karya yang dekat dengan hati penonton. - Foto Darrel Chia Chee Sum
Darrel Chia Chee Sum (empat dari kanan) cenderung menghasilkan karya yang dekat dengan hati penonton. – Foto Darrel Chia Chee Sum

 

Darrel yang juga graduan dalam bidang filem dan animasi, Universiti Multimedia, Cyberjaya pada 2005, pernah menghasilkan filem pendek berjudul Otak Otak.

Filem itu terpilih menyertai kem latihan di First International Film Festival di Xining, China, tahun lalu.

Peminat kerja arahan sutradara hebat seperti Michael Haneke, Abbas Kiarostami dan Robert Bresson ini, pada mulanya berkecimpung dalam dunia penerbitan iklan atau komersial.

“Selepas tamat pengajian universiti, saya bekerja artis grafik di sebuah syarikat. Ketika itu, saya terarah kepada kerja menghasilkan animasi dan kesan visual untuk iklan televisyen (TV).

“Pada 2007, saya menyertai Asian Film Academy di Busan Korea selama tiga minggu. Seperti kem latihan filem, saya belajar ilmu sinematografi, mengarah dan menerbit. Kemudian saya kembali ke Malaysia dengan bekerja di syarikat produksi pengiklanan.

“Pada 2017, saya nekad meninggalkan dunia iklan TV dan menjadi pengarah serta menghasilkan filem pendek pertama berjudul High Way,” katanya

Darrel berharap dapat menggunakan medium pawagam sebagai bahasa universal

“Tidak kiralah berbeza latar agama dan bangsa… Itu bukan tembok penghalang dalam menyatukan semua menerusi karya seni.

“Menghasilkan filem juga bukan sekadar menjadi pencerita. Ia adalah ruang untuk memancarkan perasaan kepada sejagat,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat