KUALA LUMPUR, — Sidang Kemuncak ASEAN yang berakhir di Kuala Lumpur Selasa lalu menandakan langkah besar dalam usaha memelihara keamanan rantau Indo-Pasifik yang kian bergolak, apabila ASEAN dan Australia memeterai 13 komitmen strategik untuk memperkukuh mekanisme keamanan dan pencegahan konflik serantau.
Kehadiran Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, dalam persidangan ini memberi isyarat bahawa Australia, walaupun merupakan sekutu rapat Amerika Syarikat, mempunyai pertimbangan serantau tersendiri. Kenyataan Bersama Pemimpin ASEAN–Australia mengenai Pencegahan Konflik dan Pengurusan Krisis menyatakan tekad untuk memastikan rantau ini kekal aman, stabil dan bebas daripada dominasi kuasa besar dengan ASEAN kekal sebagai pusat diplomasi serantau.
Teras utama kenyataan ini ialah penegasan bahawa keamanan serantau tidak boleh disandarkan pada kekuatan ketenteraan, sebaliknya mesti dibina melalui komunikasi terbuka, saling kepercayaan dan penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa.

Kedua-dua pihak bersetuju memperkukuh rangka kerja yang dipimpin ASEAN melalui mekanisme seperti East Asia Summit (EAS), ASEAN Regional Forum (ARF) dan ASEAN Defence Ministers’ Meeting Plus (ADMM-Plus) bagi mengurus krisis dan mencegah konflik sebelum tercetus. Dalam konteks itu, ASEAN dan Australia akan menubuhkan infrastruktur komunikasi langsung (ASEAN Direct Communications Infrastructure – ADI) untuk menjadi saluran diplomatik segera sekiranya berlaku ketegangan atau salah faham antara negara.
Kerjasama Maritim dan Undang-undang Laut
Dalam konteks keselamatan serantau yang semakin kompleks, isu maritim turut menjadi antara tumpuan utama sidang ini. Kedua-dua pihak mengulangi komitmen kepada United Nations Convention on the Law of the Sea (UNCLOS 1982) sebagai asas semua aktiviti di laut dan menolak sebarang bentuk militarisasi di kawasan pertikaian, khususnya di Laut China Selatan.
ASEAN dan Australia juga bersetuju mempromosikan langkah-langkah membina kepercayaan (confidence-building measures), menggalakkan kebebasan pelayaran dan penerbangan, serta mengekang aktiviti yang boleh meningkatkan risiko salah tafsir dan salah anggapan antara negara.
Menangani Ancaman Baharu
ASEAN dan Australia turut mencapai persefahaman dalam menangani cabaran keselamatan baharu, termasuk jenayah siber, penipuan dalam talian, pemerdagangan manusia, penyalahgunaan dadah dan ancaman berasaskan kecerdasan buatan (AI-enabled threats) yang boleh menggugat keselamatan awam dan kestabilan ekonomi serantau.
Bagi menangani isu ini, kedua-dua pihak akan memperkukuh platform seperti ASEAN–Australia Cyber Policy Dialogue, ASEAN Senior Officials Meeting on Transnational Crime (SOMTC) + Australia, dan ASEAN Directors-General of Immigration + Australia Consultation bukan sekadar bertukar maklumat, tetapi juga membina keupayaan dan latihan bersama untuk menghadapi ancaman keselamatan rentas sempadan yang semakin canggih.
Selain itu, kedua-dua pihak turut bersetuju untuk menghidupkan kembali semangat diplomasi pencegahan melalui pelaksanaan latihan simulasi krisis atau table-top exercises, penganjuran bengkel bersama bagi memperkukuh kapasiti pegawai serantau, pengukuhan peranan ASEAN Institute for Peace and Reconciliation (ASEAN-IPR) sebagai pusat penyelidikan dan dialog keamanan, serta pelaksanaan kajian dasar dan program pembangunan keupayaan di bawah inisiatif Aus4ASEAN Futures Initiative.
Peranan Wanita dan Belia
ASEAN dan Australia juga berikrar akan memperluas pelaksanaan ASEAN Regional Plan of Action on Women, Peace and Security, termasuk menyediakan latihan kepimpinan, penyelidikan dan advokasi untuk meningkatkan peranan wanita dalam pencegahan konflik dan pengurusan krisis.
Dalam masa yang sama, peluang untuk belia ASEAN terlibat dalam program diplomasi keamanan dan latihan serantau juga akan diperluaskan bagi membina generasi pemimpin yang lebih sensitif terhadap isu keamanan global. Langkah ini melengkapkan rangka 13 komitmen bersama yang turut meliputi aspek seperti memupuk kesedaran terhadap ancaman keselamatan bukan tradisional; membina kapasiti diplomasi; mempromosi Track 1.5 dan Track 2 dialogues untuk inisiatif kepercayaan strategik; serta menyelaras pelan tindak balas awal melalui perkongsian maklumat serantau.
Kepimpinan Malaysia dan Makna Strategik kepada ASEAN
Sebagai pengerusi ASEAN 2025, Malaysia memainkan peranan penting dalam memastikan dokumen ini lebih daripada sekadar kenyataan simbolik. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa keamanan rantau ini mesti dijaga oleh tangan rantau ini sendiri, sambil menolak idea bahawa Asia Tenggara perlu tunduk kepada pengaruh geopolitik luar.
Dalam ujarannya, beliau menegaskan bahawa ASEAN perlu terus berdaulat sebagai platform kemakmuran dan keamanan untuk rantau, bukan diperalat sebagai medan persaingan kuasa besar.
Perdana Menteri Australia Anthony Albanese pula menyatakan: “We are now in the fastest-growing region in the world in human history… opportunities for … a more peaceful and secure region.”
Beliau mengulang komitmen Australia untuk berdiri bersama ASEAN dalam memastikan Indo-Pasifik kekal aman dan stabil, sambil mengumumkan pelaburan baharu dalam infrastruktur digital dan ekonomi hijau di kawasan ini.
Ikrar 13 komitmen ini bukan sekadar mencerminkan keserasian strategik ASEAN dan Australia, tetapi juga mengangkat Malaysia sebagai pemacu naratif keamanan baharu di Indo-Pasifik berasaskan undang-undang, inklusif, dan berpaksikan suara rantau sendiri.



