KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan bersama Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), Scott Bessent di Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC 2025 di Gyeongju, Republik Korea.
Kata Anwar, Scott Bessent mengulangi penghargaan kepada Malaysia atas layanan baik yang diberikan kepada Presiden Donald Trump dan delegasi AS sewaktu di Kuala Lumpur baru-baru ini.
“Saya sekali lagi sampaikan ucapan terima kasih kepada Presiden Trump atas kunjungan yang mencerminkan iltizam tinggi kepimpinan AS dalam memperkukuh hubungan dua hala yang konstruktif, saling menghormati dan membawa manfaat bersama.
“Saya menghargai peranan serta sumbangan beliau dalam memperkukuh kerjasama ekonomi global, di samping usaha memperluas jaringan pelaburan, perdagangan dan keamanan yang inklusif berasaskan dialog, keadilan serta saling memahami,” kata Perdana Menteri.
Sementara itu, ujar beliau pertemuan mereka hari ini secara tidak langsung meneruskan momentum hubungan erat yang telah terjalin semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan memberi ruang untuk kami membincangkan pelbagai aspek hubungan perdagangan serta kewangan antara Malaysia dan AS.
“Tumpuan turut diberikan kepada usaha memperkukuh pertalian ekonomi dua hala, termasuk komitmen bersama antara Perbendaharaan AS dan Bank Negara Malaysia dalam memastikan dasar pertukaran mata wang yang berdaya tahan, kestabilan pasaran kewangan, serta tadbir urus yang telus dan berintegriti.
“Malaysia kekal komited memperkukuh kerjasama strategik dengan Amerika Syarikat atas landasan prinsip keterbukaan, keadilan dan hormat-menghormati, demi menjamin kestabilan, kemakmuran dan keamanan serantau serta sejagat,” kata Anwar.



