KUALA KANGSAR – Penubuhan Pasukan Tindakbalas Kecemasan Pertahanan Awam (CDERT) Keluarga Malaysia Kuala Kangsar mampu membantu jabatan melaksanakan tanggungjawabnya dengan lebih berkesan semasa keadaan kecemasan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Mastura Mohd Yazid berkata, sudah tiba masanya setiap kawasan Parlimen menubuhkan CDERT masing-masing dengan kerjasama komuniti di peringkat akar umbi.

“Saya memanggil CDERT ini sebagai CDERT Keluarga Malaysia Kuala Kangsar. Ia mengambil semangat dariapda pengumuman Perdana Menteri Malaysia. Juga berikutan bulan siapsiaga bencana kerana Perdana Menteri berpandangan bahawa setiap rakyat harus bersiap sedia selain agensi yang terlibat.

“Saya berharap setiap parlimen di Malaysia meuwjudkan CDERT masing-masing kerana hampir semua parlimen mempunyai APM di setiap daerah. Setelah melihat beberapa CDERT yang ditubuhkan cukup berjaya dan dianggotai oleh ahli komuniti di situ,” katanya selepas majlis pelancaran dan penubuhan CDERT Keluarga Malaysia Kuala Kangsar di Lanai Casuarina, semalam.

Menurut Ahli Parlimen Kuala Kangsar itu, CDERT yang ditubuhkan dengan kerjasama komuniti setempat dan APM mampu membantu dalam mendapatkan maklumat bencana atau kecemasan dengan cepat.

“Seperti saya sendiri mempunyai dua mukim oleh itu banyak perkara yang terkadang maklumat tidak sampai terus ke agensi tertentu tetapi sampai kepada komuniti di peringkat akar umbi tersebut. CDERT ini membawa komuniti berkerjasama rapat dengan agensi APM.

“Saya sedang merancang kalau boleh setiap negeri mempunyai CDERT yang berdaya maju sebagai contoh kepada penubuhan CDERT yang akan datang. CDERT ini perlu diambil serius supaya ia menjadi contoh kepada parlimen lain,” katanya.

Mastura berkata, pelancaran dan penubuhan CDERT berkenaan memandangkan bulan Oktober merupakan Bulan Kesiapsiagaan Nasional seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

CDERT yang ditubuhkan sejak 16 Mac 2006 sehingga kini telah membentuk 207 pasukan yang terdiri daripada komuniti, kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan swasta di seluruh negara.