Muhyiddin Kecewa Tiada Darurat, Kerajaan Terpaksa Adakan PRK dan PRN

- Advertisement -

CYBERJAYA – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan kebimbangan mengenai ancaman pandemik Covid-19 dalam menguruskan Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi (Sabah) pada 5 Disember nanti dan Pilihan Raya Negeri Sarawak yang akan diadakan pada bila-bila masa.

Muhyiddin menyifatkan pilihan raya sepatutnya tidak diadakan langsung pada masa ini namun tidak dapat berbuat apa-apa kerana permohonan darurat telah ditolak.

“Tetapi apa boleh buat kerana itu adalah kehendak dalam Perlembagaan Persekutuan maka kita terpaksa mengadakan pilihanraya. Kecuali jika darurat diisytiharkan di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan di Batu Sapi dan Sarawak, boleh lah kita tangguhkan dahulu kedua-dua pilihanraya ini sehingga COVID-19 berakhir,” kata Muhyiddin dalam ucapan mengenai situasi semasa Covid-19 petang ini.

Perdana Menteri menjelaskan bahawa Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pagi tadi turut mendengar pandangan Setiausaha SPR bahawa ramai petugas pilihanraya menyatakan rasa bimbang untuk bertugas di PRK Batu Sapi nanti kerana takut terkena jangkitan COVID-19.

“Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia juga melaporkan jika Pilihanraya Negeri Sarawak terpaksa diadakan, beliau bimbang akan keadaan di kawasan-kawasan pedalaman negeri Sarawak yang tidak mempunyai kemudahan kesihatan yang lengkap. Apakah akan mampu menampung peningkatan kes-kes positif COVID-19 yang berkemungkinan naik secara mendadak selepas pilihanraya,” luah Muhyiddin sebentar tadi.

Perdana Menteri juga mengingatkan bahawa keupayaan frontliners dan logistik kesihatan juga akan menjadi semakin terkekang dengan keadaan geografi negeri Sarawak yang luas dan sesetengah kawasan amat sukar untuk diakses.

“Ini tidak mengambilkira kos tambahan yang akan ditanggung oleh kerajaan dan kos ke atas ekonomi jika penularan jangkitan COVID-19 berlaku dengan mendadak selepas pilihan raya. Di negeri Sabah sahaja dianggarkan kerajaan terpaksa membelanjakan setengah bilion ringgit jika PKP terpaksa dilaksanakan,” hurai Muhyiddin bagi menjustifikasi kebimbangan beliau mengenai keadaan Covid-19 dalam negara sekarang.

Muhyiddin turut menegaskan cadangan penangguhan ini dari pihak yang pakar dalam pengurusan pilihan raya dan kesihatan di negara, bukanya pandangan peribadi beliau semata-mata.

“Ada pihak mencadangkan kepada saya supaya kita perketatkan SOP pilihanraya. Ya, boleh. Saya akan teliti SOP yang disediakan oleh SPR untuk PRK Batu Sapi dan PRN Sarawak. Cuma saya tahu banyak kekangan yang dihadapi oleh SPR untuk menggubal satu SOP yang benar-benar berkesan dalam memastikan TIADA jangkitan langsung semasa pilihanraya diadakan.”

“Antaranya ialah kekangan untuk menghalang pergerakan pengundi di kawasan merah untuk keluar mengundi kerana mereka ada hak untuk mengundi di sisi perlembagaan. Batu Sapi adalah kawasan merah. Kita minta penduduk Batu Sapi supaya duduk di rumah. Tetapi oleh kerana ada pilihan raya mereka terpaksa keluar beramai-ramai untuk mengundi. Mungkin peratusan keluar mengundi akan menjadi rendah, tetapi itulah demokrasi.

Muhyiddin turut mengingatkan bahawa jika pilihanraya terpaksa diadakan Kerajaan Persekutuan dan Negeri tidak boleh menghalang mereka pulang mengundi kerana itu adalah hak mereka di bawah Perlembagaan.

“Mengikut Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat yang dilaksanakan sekarang, penduduk di Kuching tidak dibenarkan keluar dari daerah Kuching. Dengan itu kita dapat membendung penularan COVID-19 ke daerah-daerah lain yang masih berstatus hijau, iaitu tiada langsung kes COVID-19 dikesan.”

Apabila berlaku pilihan raya kerajaan tidak boleh menghalang penduduk di Kuching yang mengundi di Samarahan, Sri Aman, Miri, Bintulu dan lainlain daerah untuk keluar mengundi

“Begitu juga pergerakan pengundi dari kawasan merah ke kawasan hijau juga tidak dapat dihalang. Cuba saudara dan saudari bayangkan. Kuching sekarang adalah kawasan merah yang mencatatkan lebih 70 kes COVID-19.”

Muhyiddin juga mengingatkan semua pihak bahawa Kerajaan juga tidak boleh menghalang pengundi Sarawak yang tinggal di Sabah, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan lain-lain negeri yang mencatatkan kes-kes COVID-19 yang tinggi.

Dalam ucapan tersebut Perdana Menteri turut menjawab cadangan supaya membuat ujian saringan COVID-19 ke atas semua pengundi luar negeri Sarawak yang hendak balik mengundi.

“Isunya, siapa yang akan menanggung kos ujian dan apakah kita mempunyai kapasiti makmal yang mencukupi untuk melakukan ujian ke atas ratusan ribu pengundi dalam masa yang singkat?”

“Ujian saringan pun tidak dapat menjamin mereka tidak dijangkiti selepas mengambil ujian.  Oleh kerana ramai pesakit COVID-19 tidak mempunyai apa-apa simtom, kita tidak dapat pastikan dengan tepat siapa di antara mereka yang membawa virus ini dan menyebabkan jangkitan dalam komuniti.”

Muhyiddin turut mengingatkan bahawa kawalan pandemik ini akan menjadi lebih sukar sekiranya jangkitan berlaku di kawasan-kawasan pedalaman yang tidak mempunyai kemudahan hospital dan fasiliti kesihatan lain yang lengkap.

“Mereka yang dijangkiti mungkin akan meninggal dunia begitu sahaja sebelum bantuan tiba, na’uzubillah.” – SUARATV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat