Lanjut tempoh moratorium enam bulan lagi – MATA

- Advertisement -

Kuala Lumpur – Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) mencadangkan agar kerajaan melanjutkan tempoh moratorium sekurang-kurangnya enam bulan lagi dalam Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan Jumaat depan.

Presidennya Datuk Mohd Khalid Harun berkata langkah itu dapat memberi peluang kepada penggiat industri menyusun kembali kewangan syarikat susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berkuat kuasa sehingga kini, dan terdapat negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Sebagai contoh, agensi pelancongan berpeluang fokus dalam membuat pemasaran destinasi pelancongan manakala pengusaha bas persiaran dapat mengelakkan daripada bas mereka ditarik oleh pihak institusi kewangan disebabkan ketidakmampuan untuk membayar ansuran bas mereka.

“Perlu diingat, selagi sempadan negara tidak dibuka, tiada pergerakan pelancong yang akan keluar mahupun masuk ke Malaysia dan ini menjadikan pengusaha sektor pelancongan sangat terjejas dari segi pendapatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, penggiat industri tidak boleh hanya mengharapkan pelancongan domestik sahaja kerana sektor itu hanya mewakili kurang dari 20 peratus daripada keseluruhan pendapatan sektor pelancongan.

Selain itu, Mohd Khalid turut mencadangkan kerajaan meneruskan subsidi upah supaya pengusaha pelancongan tidak perlu membuang pekerja mereka sekali gus dapat menyelamatkan lebih daripada 3.6 juta pekerja (23.6 peratus guna tenaga) dalam sektor itu daripada kehilangan pekerjaan.

Beliau juga berharap kerajaan dapat menyusun semula Skim Pembiayaan Sektor Pelancongan Penjana sebanyak RM1 bilion dengan memberikan kepada agensi kerajaan sedia ada untuk menguruskannya.

Selain daripada memberi pengecualian membayar fi lesen sehingga 2022, kerajaan juga perlu memberikan pakej pelepasan cukai yang menarik antaranya dengan pengecualian cukai pendapatan kepada syarikat pelancongan berlesen dan seterusnya menggalakkan pelaburan masuk dalam industri pelancongan ini.

“Kerajaan perlu memandang serius gesaan ini kerana sektor pelancongan telah memberikan pulangan yang signifikan dengan menduduki tempat ke-3 iaitu bersamaan 15.9 peratus kepada ekonomi Malaysia selepas sektor perindustrian dan komoditi pada tahun 2019,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,559FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat